BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Susulan Penurunan Harga Minyak

Oleh K.Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini susulan tertekan oleh kejatuhan harga minyak, kata seorang peniaga.

Beliau berkata harga minyak merosot dalam dagangan Asia apabila para pelabur menilai kesan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak serta kemungkinan sekatan yang lebih ketat ke atas aliran tenaga dari Rusia.

Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent susut sebanyak 0.32 peratus kepada US$66.36 setong.

Peniaga itu berkata sentimen pasaran turut terjejas berikutan isyarat yang bercampur-campur mengenai kadar faedah Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan Eropah Timur.

“Dilaporkan para pelabur mula berhati-hati selepas beberapa pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi isyarat pada Isnin iaitu bank pusat itu mungkin tidak perlu lagi menurunkan kadar faedah susulan pengurangan yang dibuat minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

Namun begitu, katanya, penurunan lanjut dihadkan oleh kebimbangan terhadap kemungkinan kekurangan bekalan getah asli akibat musim hujan di negara-negara pengeluar utama.

“Agensi meteorologi Thailand meramalkan ribut petir berselerak dan hujan lebat terpencil dari 24 hingga 29 September di kawasan selatan,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut sebanyak 6.5 sen kepada 730.50 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurang dua sen kepada 579.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA