BERITA TERKINI   ASEAN menjadi rakan dagangan barangan kedua terbesar Hong Kong selama 15 tahun berturut-turut - Algernon Yau | Eksport ASEAN ke Hong Kong bernilai US$112.1 bilion manakala import sebanyak US$20.5 bilion - Tengku Zafrul | Perkongsian ekonomi ASEAN dengan Hong Kong terus mengukuh, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$132.5 bilion pada 2024, yang menjadikannya rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN - Tengku Zafrul | PM Anwar mahu kerjasama antara Persekutuan dan Sabah terus baik selepas pilihan raya negeri agar Kerajaan Perpaduan kuat untuk bantu pembangunan | Perpaduan negara perlu terus dikekalkan agar sentiasa aman dan disegani oleh pemimpin negara luar – PM Anwar | 

Sekretariat RCEP Dipertimbangkan Bagi Tambah Baik Pelaksanaannya - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Sekretariat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sedang dipertimbangkan untuk menjadikan perjanjian perdagangan terbesar dunia itu lebih relevan dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata cadangan itu antara perkara utama dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP ke-4, selain pelan untuk mencadangkan Sidang Kemuncak Pemimpin RCEP penuh, yang akan mengekalkan komitmen terhadap perdagangan dan pelaburan serantau serta mengkaji kemungkinan memperluas keanggotaan.

“Kami sedang membincangkan penubuhan Sekretariat RCEP yang memberi tumpuan sepenuhnya pada hal-hal berkaitan RCEP supaya perjanjian ini dapat dipertingkatkan.

“Sudah tiba masanya untuk mengkaji semula,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan hari ini.

Mesyuarat RCEP itu dipengerusikan bersama Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Muto Yoji dan Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri.

Tengku Zafrul berkata menteri-menteri bersetuju dengan tiga keputusan utama pada mesyuarat tersebut. 

“Pertama, kami bersetuju untuk mengadakan mesyuarat RCEP ini berikutan konsensus diperlukan dalam kalangan semua negara. Terdapat 15 negara yang terlibat dalam RCEP — semua bersetuju bahawa ketua-ketua negara dan kerajaan akan mengadakan pertemuan semasa mesyuarat RCEP.

“Kedua, kami akan membincangkan agenda sidang kemuncak itu dan mengeluarkan kenyataan bersama. Ketiga, kami bersetuju untuk menyokong perdagangan, pelaburan dan ekonomi serantau selain terus terbuka untuk mempelawa ahli baharu menyertai RCEP,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bantahan terhadap perluasan oleh negara seperti Hong Kong, Sri Lanka, Chile dan Bangladesh, beliau berkata ahli RCEP terbuka kepada perbincangan tetapi keputusan muktamad terletak pada pemimpin.

“Kebanyakan negara sangat terbuka tetapi keputusan muktamad masih terletak pada pemimpin RCEP,” katanya.

Inisiatif yang diterajui ASEAN itu merupakan perjanjian perdagangan terbesar dunia, meliputi 15 negara anggota, termasuk 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Sebelum ini, Tengku Zafrul berkata RCEP belum mengadakan mesyuarat rasmi pemimpin sejak perjanjian perdagangan itu ditandatangani pada November 2020.

Pada Ogos, ketika mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin RCEP, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RCEP kekal sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, meliputi 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan perkumpulan ini “tidak seharusnya kekal sebagai dokumen undang-undang di atas kertas, sebaliknya perlu diperbaharui dengan iltizam politik.” 

-- BERNAMA