Hong Kong Diutamakan Sebagai Ahli Baharu RCEP - Dyah Roro

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin & C Vinoothene

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Hong Kong dikenal pasti sebagai ekonomi yang perlu diutamakan untuk dipertimbangkan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri.

RCEP merangkumi 10 negara anggota ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Selain Hong Kong, beliau berkata negara-negara lain seperti Chile, Sri Lanka dan Bangladesh turut menyatakan minat untuk menyertai blok itu, satu langkah yang dialu-alukan oleh para anggotanya.

“Kami telah mengadakan perbincangan semasa mesyuarat dan kebanyakan negara, jika tidak semua, menyokong tindakan itu.

“Kami menyedari akan ada kumpulan kerja kemasukan ad hoc dan negara-negara yang ingin menyertai RCEP perlu menjalani proses itu sebelum akhirnya menjadi sebahagian daripada perjanjian berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM)-Hubungan Ekonomi Lebih Rapat (CER) Ke-13 di sini, hari ini.

Terdahulu, Dyah Roro mempengerusikan bersama mesyuarat RCEP dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun Muto Yoji.

Beliau berkata penyertaan ahli-ahli baharu boleh meningkatkan keupayaan ASEAN dalam memanfaatkan kerjasama dan usaha sama serantau.

Beliau menambah tumpuan juga perlu diberikan kepada usaha membolehkan pemain-pemain industri dan sektor swasta mendapat manfaat sepenuhnya daripada perjanjian itu, khususnya melalui sosialisasi yang lebih meluas, meningkatkan penggunaan dan penglibatan berterusan perniagaan ke perniagaan, yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada mana-mana perjanjian perdagangan.

Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP Keempat turut membincangkan kemampanan dengan Dyah Roro menegaskan kerjasama dalam peralihan tenaga dan perdagangan mampan adalah penting.

“Tetapi selain itu, apabila kita bercakap tentang perdagangan, kita bukan sahaja merujuk kepada barangan tetapi juga perkhidmatan,” katanya ketika ditanya mengenai usaha ASEAN-RCEP dalam memajukan kemampanan sambil menyatakan momentum global untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan terus meningkat.

-- BERNAMA