Bursa Malaysia Ditutup Kukuh Kembali Lepasi Paras 1600 Mata
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia melantun semula daripada dagangan hambar pada sesi sebelumnya dan mengakhiri minggu ini dengan ditutup kukuh disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah.
Pada 5 petang, FBM KLCI naik 10.58 mata untuk ditutup kepada 1,609.05, daripada paras 1,598.47 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah kepada 1,597.01 dan bergerak antara paras 1,595.32 dan 1,611.32 sepanjang hari dagangan.
Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 575 berbanding 559, manakala 469 tidak berubah, 1,047 tidak diniagakan dan 48 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.16 bilion unit bernilai RM3.17 bilion daripada 3.55 bilion unit bernilai RM2.77 bilion pada Khamis.
Naib presiden Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata bursa tempatan stabil, dirangsang oleh peningkatan jumlah dagangan pasaran dan pembelian kukuh daripada institusi tempatan walaupun prestasi negatif di pasaran serantau.
Bursa lain di rantau ini mencatatkan penurunan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif tambahan ke atas produk perabot, trak berat dan farmaseutikal, dengan semua ubat berjenama atau berpaten berdepan tarif 100 peratus, melainkan ia dikilang di AS.
"Kembali melepasi paras 1,600 adalah pencapaian positif bagi indeks utama, menunjukkan keupayaannya berdepan dengan cabaran ketika ini. Keadaan ini menunjukkan pembeli kembali semula ke dalam pasaran, menyokong sentimen lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat 10 sen kepada RM9.89, Public Bank menokok enam sen kepada RM4.34 dan Tenaga Nasional melonjak 14 sen kepada RM13.34. IHH Healthcare menambah 13 sen kepada RM7.50 dan CIMB Group naik satu sen kepada RM7.25.
Dalam kalangan kaunter cergas, Zetrix AI, Tanco Holdings dan VS Industry naik satu sen setiap satu masing-masing kepada 86.5 sen, 90 sen dan 60 sen. Bumi Armada meningkat setengah sen kepada 36.5 sen, manakala Pharmaniaga susut 1.5 sen kepada 26.5 sen.
Country View menerajui kaunter untung, melonjak 23 sen kepada RM2.78, manakala Malayan Cement meningkat 42 sen pada RM7.15, dan Dutch Lady Milk Industries menokok 22 sen kepada RM27.28. Petronas Dagangan naik 30 sen kepada RM22.42 dan Ajinamoto menambah 20 sen kepada RM14.02.
Dalam kalangan kaunter rugi utama Malaysian Pacific susut 30 sen kepada RM29.30, Nestle turun 56 sen kepada RM96.04 dan Sunway Construction Group berkurangan 14 sen kepada RM5.99. PPB Group turun 20 sen kepada RM10.12 manakala Farm Fresh susut 14 sen kepada RM2.27.
Di keseluruhan pasaran, Indeks FBM Emas meningkat 53.02 mata kepada 11,993.44, Indeks FBM 100 melonjak 56.71 mata kepada 11,725.04, Indeks FBM Emas Shariah menokok 30.91 mata kepada 12,048.47 dan Indeks FBM ACE menambah 49.20 mata kepada 5,200.46, manakala Indeks FBM 70 turun 7.13 mata kepada 16,850.35.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.68 mata kepada 173.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 125.64 mata kepada 18,156.84, Indeks Tenaga menambah 2.61 mata kepada 782.52, dan Indeks Perladangan mengukuh 4.84 mata kepada 7,762.65.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.97 bilion unit bernilai RM2.72 bilion daripada 1.92 bilion unit bernilai RM2.39 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.44 bilion unit bernilai RM208.70 juta daripada 913.14 juta unit bernilai RM139.76 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 737.39 juta saham bernilai RM230.36 juta daripada 713.16 juta saham bernilai RM227.36 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 399.61 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (378.01 juta), pembinaan (141.29 juta), teknologi (246.96 juta), perkhidmatan kewangan (91.27 juta), hartanah (192.84 juta), perladangan (25.31 juta juta), REIT (30.47 juta), dana tertutup (306,500), tenaga (219.29 juta), penjagaan kesihatan (130.75 juta), telekomunikasi dan media (29.55 juta), pengangkutan dan logistik (44.85 juta), utiliti (47.08 juta), dan amanah perniagaan (425,7000).
-- BERNAMA