BERITA TERKINI   Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 | 

CIMB IB Jangka OPR Kekal 2.75 Peratus Pada November

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada November, menurut CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB).

Jangkaan itu adalah sejajar dengan kenyataan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada September, yang menyatakan tiada keperluan untuk mencetuskan perubahan segera. 

Menurut nota bank pelaburan itu hari ini, pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia akan terus bergantung kepada data sehingga akhir 2025.

“Penyatuan kepada fiskal akan berterusan, dengan Belanjawan 2026 mengesahkan pendirian ini. Mengikut sejarah, pelonggaran fiskal hanya berlaku semasa kemerosotan yang teruk, manakala pelarasan dasar monetori biasanya menjadi kenyataan apabila pertumbuhan merosot hingga julat di bawah empat peratus,” katanya.

CIMB berkata pembuat dasar mungkin mengekalkan pergantungan kepada data melalui mesyuarat MPC akan datang pada November.

“Pengukuhan eksport baru-baru ini telah disokong oleh penghantaran elektrik dan elektronik (E&E), yang menyumbang kira-kira 42 peratus daripada jumlah eksport, manakala eksport bukan E&E (58 peratus) menunjukkan kelemahan yang berterusan sepanjang tahun.

“Jika kelemahan ini berterusan, kami melihat skop bagi pemotongan OPR selanjutnya pada suku pertama 2026,” tambahnya. 

-- BERNAMA