BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peningkatan 0.70 peratus dalam Indeks Dolar AS (DXY) kepada 98.406 mata.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.2135/2180 berbanding dolar AS daripada 4.2055/2125 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar pertukaran dolar-ringgit AS bergerak dalam jajaran kecil hari ini, diniagakan antara RM4.2103 hingga RM4.2180.

Beliau juga berkata yen Jepun merosot berbanding dolar AS dengan kadar dolar-yen melepasi 150 yen kerana Perdana Menteri baharu Jepun Sanae Takaichi berkemungkinan memihak kepada dasar pro-pertumbuhan.

"Keadaan sedemikian nampaknya telah memberi manfaat kepada dolar AS. Mata wang serantau juga menyusut nilai berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.9155/9207 daripada 4.9360/9442 ketika ditutup pada Jumaat dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8019/8051 daripada 2.8537/8586, bagaimanapun turun berbanding pound Britain kepada 5.6608/6669 daripada 5.6577/6671.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.2562/2599 daripada 3.2621/2678 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.22/7.23 daripada 7.26/7.28 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9810/13.0009 daripada 12.9807/13.0084 pada penutupan minggu lepas dan menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 254.0/254.4 daripada 253.9/254.4 sebelum itu.

-- BERNAMA