M.Zenni Mah Sing Rekod Pengambilan 70 Peratus
GEORGE TOWN, 8 Okt (Bernama) -- Pembangunan bercampur bertingkat tinggi Mah Sing Group Bhd di Batu Maung, M Zenni telah mencapai kadar pengambilan 70 peratus setakat ini, mencerminkan permintaan pasaran yang kukuh untuk kediaman yang berkualiti di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Voon Tin Yow berkata M Zenni mewakili keyakinan berterusan Mah Sing terhadap potensi pertumbuhan Pulau Pinang dan mencerminkan komitmen kumpulan itu terhadap pembangunan yang dipacu nilai.
Mah Sing telah menikmati pelancaran yang berjaya di Pulau Pinang dan yakin bahawa M Zenni akan memberi impak kepada pasaran.
"Apa yang menjadikan ini lebih istimewa ialah M Zenni berada di landasan untuk menjadi projek pertama kami di Pulau Pinang bagi mencapai pensijilan GreenRE Gold sebaik sahaja ia siap," katanya semasa berucap pada pembukaan Galeri Jualan M Zenni di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo merasmikan majlis pembukaan.
Voon berkata projek itu mengintegrasikan pelbagai ciri-ciri lestari yang inovatif seperti panel solar, sistem pengumpulan sisa automatik, kelengkapan cekap tenaga termasuk landskap hijau yang luas bagi mengurangkan jejak karbon, pada masa yang sama, mempromosikan komuniti yang mesra alam.
.Dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM309 juta, M Zenni merangkumi 10 lot kedai komersial dan menara pangsapuri servis 33 tingkat yang menawarkan tiga jenis susun atur iaitu studio dan 1+1-bilik tidur seluas 688 kaki persegi; tiga bilik tidur (958 kaki persegi) dan empat bilik tidur (1,184 kaki persegi), dengan harga bermula dari RM480,000.
Voon menambah bahawa transformasi berterusan Pulau Pinang seperti Projek Pulau Silikon Pulau Pinang, perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan LRT Aliran Mutiara yang akan datang, akan memacu penciptaan pekerjaan serta mengekalkan permintaan perumahan.
Terletak secara strategik di pintu masuk ke Jambatan Kedua Pulau Pinang, M Zenni menawarkan kesepaduan kemudahan perbandaran dan ketenangan semulajadi, mensasarkan pembeli rumah, profesional serta keluarga muda yang mencari kehidupan moden dan lestari.
Projek ini akan disiapkan menjelang suku keempat 2029.
-- BERNAMA