BERITA TERKINI   Kemudahan khas RM5 bilion yang diumumkan bagi PMKS yang terkesan, melengkapi jaminan RM5 bilion di bawah SJPP yang diumumkan sebelum ini, menjadikan keseluruhan sokongan kewangan kepada PMKS kini RM10 bilion - PM Anwar | Institusi perbankan tidak boleh mengambil pendekatan sempit sebaliknya mesti memikul tanggungjawab sebagai rakan strategik dalam memastikan kelangsungan ekonomi domestik - PM Anwar | Kerajaan tidak akan kompromi terhadap sebarang kelewatan dalam menangani tekanan yang dihadapi sektor kritikal, khususnya PMKS yang menjadi tunjang ekonomi negara meskipun asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan - PM Anwar | Pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 dijangka dibentang di Parlimen hujung tahun ini - Fahmi | Tahap pembinaan Projek Jambatan Kota Tinggi Bypass capai 85 peratus, jangka siap 28 Julai ini - Ahmad Maslan | 

Pemandu e-hailing, p-hailing Didaftarkan Sebagai Ahli KWSP Di Bawah i-Saraan Plus Baharu

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Program i-Saraan Plus yang baharu diperkenalkan dan disesuaikan untuk pemandu e-hailing dan p-hailing yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 merupakan lanjutan daripada kejayaan program i-Saraan, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

i-Saraan Plus menawarkan had insentif padanan tahunan yang lebih tinggi iaitu RM600 dan sehingga RM6,000 sepanjang hayat.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata pemandu akan didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui penyedia platform, yang akan memudahkan potongan caruman pada kadar yang ditentukan sendiri oleh pemandu.

“Selaras dengan prinsip menaikan lantai kesejahteraan rakyat, KWSP menghargai keputusan kerajaan melanjutkan program i-Saraan pada 2026 untuk terus menawarkan insentif padanan sebanyak 20 peratus, dihadkan kepada RM500 setahun dan RM5,000 sepanjang hayat,” katanya.

Sementara itu, KWSP berkata insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri akan dilanjutkan untuk 2026, dengan had umur kelayakan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum negara.

Ia berkata insentif itu ditawarkan sebanyak 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan, tertakluk kepada maksimum RM300 setahun dan RM3,000 sepanjang hayat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata program i-Saraan dan i-Suri memainkan peranan penting dalam memperluas liputan simpanan persaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP bagi meningkatkan tahap perlindungan sosial, memastikan tiada siapa yang tercicir dalam membina keselamatan kewangan untuk persaraan mereka,” katanya.

Menurut KWSP, peluasan platform i-Lindung untuk merangkumi insurans dan takaful kesihatan yang membolehkan ahli menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera bagi melanggan pelan asas insurans  atau Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), memperluas pilihan perlindungan perubatan untuk ahli.

“Had pengeluaran di bawah Akaun Sejahtera bagi ahli yang berhasrat menunaikan ibadah haji akan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000, sekali gus memberi lebih fleksibiliti dalam mengurus perbelanjaan berkaitan ibadah haji.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai pelaksanaan langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 akan dikongsikan pada masa akan datang,” tambahnya.

-- BERNAMA