BERITA TERKINI   KSN Shamsul Azri ketuai jawatankuasa khas siasat dakwaan libatkan KP SPRM - Fahmi | Jemaah Menteri sambut baik kenyataan MB Selangor pertingkat prosedur pengurusan isu rumah ibadat tidak sah - Fahmi | Hasil lawatan PM Modi ke Malaysia dijangka beri limpahan positif sektor pelancongan, ekonomi negara - Fahmi | Fahmi rakam penghargaan kepada semua petugas radio sempena Hari Radio Sedunia hari ini | Aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, serta kenaikan gaji minimum dan elaun penjawat awam, akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna - MOF | 

BNM Tetap Optimis Terhadap Prospek Ringgit, Disokong Asas Ekonomi Kukuh - Gabenor BNM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) kekal optimis terhadap trajektori ringgit, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pembaharuan struktur.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ringgit mengukuh sebanyak 5.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini bagi 2025 meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

“Walaupun kita tidak menyasarkan mana-mana paras bagi ringgit namun kita tetap komited untuk memastikan pasaran pertukaran mata wang asing kekal berdaya tahan dan stabil.

“Dalam jangka masa panjang, pembaharuan struktur berterusan, seperti dalam pasaran buruh dan perlindungan sosial, yang penting untuk memacu peningkatan produktiviti dan daya saing, akan terus merangsang pertumbuhan dan memberi sokongan yang bertahan lama kepada ringgit,” katanya bagi menjawab pertanyaan Bernama mengenal ringgit menerusi e-mel hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata ringgit dijangkakan mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini dengan prospek ekonomi Malaysia yang cerah.

"Insya-Allah dengan prospek ekonomi yang cerah," katanya selepas pelancaran Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Abdul Rasheed berkata Malaysia melakar kemajuan yang baik dalam menarik pelaburan berkualiti, dengan hasil yang memberangsangkan setakat ini.

“Berbanding kitaran pelaburan terdahulu, kitaran kali ini lebih dipacu oleh sektor swasta dengan peningkatan aktiviti bernilai tambah lebih tinggi yang ketara dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan seperti automasi, pendigitalan dan pelaburan pusat data,” katanya.

Beliau berkata BNM menyambut baik komitmen berterusan kerajaan terhadap disiplin fiskal, dengan sasaran mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026.

Tambahan pula, kerajaan turut mengambil langkah penting untuk rasionalisasi subsidi, katanya.

“Bagaimanapun untuk terus memacu dan mengekalkan trajektori ringgit, kita perlu terus bekerja keras untuk memperkukuh asas ekonomi kita.

“Kita perlu menyokong dan melaksanakan perancangan dan pelan hala tuju seperti Rancangan Malaysia Ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Negara,” katanya.

-- BERNAMA