Ringgit Ditutup Tinggi Susulan Kebimbangan Terhadap Sektor Perbankan AS Jejaskan Dolar
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan kebimbangan peniaga terhadap sektor bank Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan prestasi dolar AS di tengah-tengah peningkatan ketegangan perdagangan AS-China.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2240/2275 berbanding dolar AS daripada paras 4.2275/2300 pada Khamis.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebimbangan terhadap pasaran kredit di bank AS telah mengakibatkan kelemahan dolar AS di tengah-tengah kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan.
"Semua perkara diambil kira, momentum perbincangan mengenai penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS semakin meningkat, dan ini boleh membawa kesan negatif terhadap dolar," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.9421/9462 daripada 4.9284/9313 pada Khamis, turun berbanding yen Jepun kepada 2.8218/8244 daripada 2.7943/7961 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6741/6788 daripada 5.6792/6826.
Bagaimanapun ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.2635/2665 daripada 3.2630/2651 pada Khamis, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 254.6/254.9 daripada 254.9/255.2, naik berbanding peso Filipina kepada 7.26/7.27 daripada 7.27/7.28 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9301/9471 daripada 12.9849/9986.
-- BERNAMA