BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Tujuh PED Selesai Sepenuhnya, Lima Lagi Dibentangkan Pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 - Tengku Zafrul

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sebanyak tujuh Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) telah diselesaikan sepenuhnya manakala lima lagi dijangka dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 12 PED yang telah selesai — kemas kini terbaharu mengenai kad skor Malaysia.

Sebanyak 18 PED yang diterajui Malaysia bertujuan memperluas integrasi, meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta mempercepat hubungan digital bagi menyatukan ekonomi serantau dan meraih potensi perniagaan sepenuhnya untuk hampir 680 juta penduduknya.

“Kami gembira dengan kemajuan ini dan yakin bahawa baki enam PED akan berjaya dilaksanakan menjelang akhir 2025,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata PED yang akan dibentangkan termasuklah dua perjanjian utama ekonomi, iaitu pemeteraian Protokol Kedua untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0.

“Ini adalah elemen penting untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau ASEAN dan kerjasama ASEAN dengan rakan luar.

“Dengan pandangan ke hadapan, kami menjangka perjanjian ini akan memastikan struktur perdagangan ASEAN bersedia untuk menghadapi masa depan. Ia turut mengekalkan komitmen kami terhadap sistem perdagangan yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 hari ini.

-- BERNAMA