BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Kadar OPR Semasa Pada 2.75 Peratus Masih Wajar, Menyokong Ekonomi Malaysia - Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kadar dasar semalaman (OPR) semasa pada 2.75 peratus masih wajar dan menyokong pertumbuhan memandangkan keadaan ekonomi Malaysia dan inflasi yang stabil, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau bagaimanapun berkata Malaysia masih berpeluang untuk melaraskan dasar fiskal dan monetari, disokong oleh kekukuhan semasa ringgit, prospek pertumbuhan yang positif dan unjuran inflasi yang stabil.

“Dari segi prestasi mata wang dan prospek pertumbuhan yang kita lihat serta unjuran inflasi, kita mempunyai ruang (untuk melaraskan) dasar fiskal dan monetari.

“Berikutan prospek domestik ini, kami berpendapat pendirian dasar monetari semasa masih wajar  dan menyokong ekonomi dalam keadaan kestabilan harga,” katanya dalam sidang media bersama bagi mengumumkan prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia suku ketiga 2025 di sini hari ini.

Bank pusat mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada November.

Abdul Rasheed berkata pengurangan OPR pada Julai turut memberi kesan kepada ekonomi dan akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan menjelang 2026.

Menurutnya MPC akan terus memantau perkembangan semasa secara berterusan dan menilai keseimbangan risiko berkaitan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

-- BERNAMA