BERITA TERKINI   Malaysia, Australia tegaskan semula komitmen untuk memastikan bekalan tenaga stabil dan berdaya tahan - PM Anwar  | Malaysia dan Australia sokong seruan Paus Leo untuk keamanan serta gesa diadakan dialog bagi menamatkan konflik global | Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | Malaysia kekal teguh pendirian terhadap Palestin, hargai sokongan Australia terhadap bantuan kemanusiaan serta usaha penyelesaian secara aman - PM Anwar | Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | 

Pembeli Dari China Disaran Berunding Bagi Peroleh Harga Minyak Sawit Lebih Baik -- KPK

PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyarankan pembeli minyak sawit dari China supaya berunding dengan pemain tempatan bagi mendapatkan minyak sawit pada harga yang lebih baik.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata demikian susulan penyusutan jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke China, berpunca daripada penurunan harga minyak soya.

"Perbezaan harga minyak soya dan minyak sawit adalah sekitar AS$120, jadi sudah tentu China melihat minyak soya sebagai altenartif untuk mereka membeli bagi kegunaan rakyat.

"Jadi, saya sarankan (pembeli minyak sawit dari China) untuk berjumpa dengan (pemain industri di Malaysia untuk berbincang.

“Jika mereka dapat memberi komitmen untuk membeli (minyak sawit) bagi tempoh satu tahun, mungkin mereka akan mendapat diskaun," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pembeli minyak sawit dari China di sini hari ini.

Johari turut menggesa syarikat dari China untuk mengunjungi Malaysia, dan menjalinkan kerjasama dengan pelabur Malaysia, sekali gus meneroka pasaran negara ini. 

“China mempunyai keupayaan teknologi yang luas merentasi segmen huluan, pertengahan dan hiliran, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh bagi memacu aplikasi baharu dan mengiktiraf manfaat minyak sawit.

“Oleh itu, dengan usaha sama seperti itu, mereka boleh menjadi syarikat Malaysia yang sebenar dan dimiliki bersama pelabur tempatan, dan dengan itu, Malaysia dengan mudahnya mendapat akses kepada pasaran global,” tambahnya. 

Terdahulu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menganjurkan lawatan rangkaian perdagangan untuk 37 pembeli minyak sawit terkemuka China bagi mengukuhkan kerjasama minyak sawit antara kedua-dua negara.

Lawatan yang bermula dari 25-27 Nov, melibatkan kunjungan ke tapak utama kemudahan ladang dan penapisan, bagi membolehkan mereka mendapat maklumat mengenai ekosistem pengeluaran Malaysia yang mampan dan berkualiti tinggi. 

-- BERNAMA