BERITA TERKINI   Kereta mewah, wang tunai RM1.3 juta dan 66 jongkong emas antara disita dalam siasatan kes libatkan dua pegawai kanan ATM - KP SPRM | Pegawai penyiasat diarah siapkan kertas siasatan libatkan PTD selewat-lewatnya Isnin minggu hadapan - KP SPRM | Siasatan kes rasuah bekas Panglima Tentera Darat dimulakan sebelum pengadu buat laporan polis - KP SPRM | ADUN Merlimau Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh umum letak jawatan Exco Kerajaan negeri Melaka berkuat kuasa minggu depan | Gabungan pelaksanaan pantas, reformasi mendalam tentukan keupayaan perkhidmatan awam kekal relevan, diyakini - KSN | 

Dasar Keutamaan Bumiputera Tidak Terjejas Dalam Perjanjian Art -- Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Dasar keutamaan bumiputera masih diamalkan dan tidak terjejas dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) kerana jelas termasuk dalam tanggungjawab awam, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Sambil menyangkal dakwaan segelintir pihak mengenai perkara itu, beliau menegaskan hak bumiputera kekal menjadi garis merah yang dipertahankan oleh kerajaan dalam rundingan berkenaan.

Beliau berkata pihak terbabit memetik Artikel 6.2 bahawa Malaysia hendaklah memastikan syarikat milik atau kawalan kerajaan yang beroperasi dalam pasaran Malaysia bertindak mengikut pertimbangan komersial.

Menurut tafsiran mereka, peruntukan itu bermakna syarikat milik kerajaan tidak lagi boleh melaksanakan dasar seperti keutamaan vendor bumiputera dan perlu mengikut penilaian komersial semata-mata.

“(Ini) tak betul, (sebab) ada klausa lain yang memberi pengecualian bagi tujuan memenuhi tanggungjawab awam iaitu Malaysia akan bertahan daripada memberikan bantuan bukan komersial atau sebaliknya mensubsidi perusahaan milik atau kawalan negara yang mengeluarkan barangan, kecuali bagi mencapai tanggungjawab awam,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.

Tengku Zafrul berkata tanggungjawab awam syarikat milik kerajaan adalah menyokong pembangunan bumiputera agar nikmat kemajuan ekonomi dapat dirasai bersama.

— BERNAMA