BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Institut REHDA Gesa Semakan Semula Komprehensif Terhadap Dasar Perumahan

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Institut REHDA, cabang penyelidikan dan latihan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), menggesa agar asas pemikiran semula diperkukuhkan, selain semakan menyeluruh terhadap dasar perumahan Malaysia yang memberi tumpuan kepada agenda ‘perumahan untuk semua’.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Institut REHDA Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata terdapat keperluan yang kritikal bagi mewujudkan strategi yang dinamik, dipacu data dan kolaboratif untuk mengatasi cabaran perumahan negara dengan berkesan. 

Beliau berkata demikian selepas sesi meja bulat pada 3 Disember yang menghimpunkan lebih 100 pihak berkepentingan, terdiri daripada ahli akademik, wakil bank, entiti korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan pemikir dan pihak berkuasa kerajaan.

“Perbincangan menyentuh mengenai keperluan untuk semakan semula dasar kuota perumahan sedia ada secara berkala.

“Ia bukan bertujuan untuk memansuhkan sistem kuota, tetapi sebaliknya bagi menyesuaikannya secara bertanggungjawab apabila kuasa pasaran dan sosio ekonomi berubah. 

“Turut dibangkitkan mengenai pendekatan yang seragam dan setara untuk semua merentasi semua negeri dan daerah yang telah terbukti tidak berkesan, hingga mengakibatkan ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan,” kata kenyataan itu. 

Selain itu, institut tersebut juga menyokong dasar-dasar yang kontekstual dan disesuaikan dengan keadaan sosioekonomi dan pasaran setiap lokasi. 

Ng turut menyokong penggunaan pendapatan boleh guna bersih dan bukan pendapatan isi rumah kasar, sebagai penunjuk kemampuan yang lebih tepat untuk mencerminkan kapasiti perbelanjaan sebenar.

Menurut kenyataan itu, perumahan sosial adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan daripada kerajaan dan pihak berkepentingan, selain perlu melangkaui persepsi semasa bahawa ia merupakan tanggungjawab pemaju sepenuhnya. 

Beliau turut menekankan mengenai kepentingan perkongsian dan penyepaduan data bagi penggubalan dasar yang berkesan yang masih kurang digunakan walaupun terdapat set data yang luas merentasi platform seperti Hab Pangkalan Data Pusat, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara.

Dalam pada itu, bagi menyelesaikan masalah dalam pengurusan data, beliau menyokong penubuhan agensi data berpusat, dengan penganalisis yang mahir dan disokong kerjasama antara kerajaan untuk bertindak sebagai tulang belakang dasar perumahan yang konsisten, boleh dipercayai dan berasaskan data. 

-- BERNAMA