BERITA TERKINI   MPBN beri penekanan lebih besar kepada kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko bencana - TPM Ahmad Zahid | Kabinet lulus penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara, perkukuh tadbir urus bencana - TPM Ahmad Zahid | Keupayaan bertindak pantas, tersusun di peringkat negeri dan daerah antara penentu keberkesanan pengurusan bencana -- Ahmad Zahid | SUKMA 2026 : Pelaksanaan pada skala kecil untuk jimat kos, jumlah sukan dipertandingkan tidak terjejas - Dr Mohammed Taufiq | SUKMA Selangor 2026 diteruskan ikut jadual Ogos ini - Dr Mohammed Taufiq | 

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS Menjelang Mesyuarat FOMC

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS pagi ini dan dijangka mengekalkan dagangan dalam jajaran kecil seiring dengan sentimen pasaran yang bercampur-campur berikutan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) memulakan mesyuarat dua harinya bermula hari ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1120/1220 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1145 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sebanyak 0.10 peratus kepada 99.087 mata berikutan mesyuarat FOMC yang semakin hampir.

"Hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) juga lebih tinggi apabila peniaga dan pelabur pendapatan tetap semakin berhati-hati mengenai keputusan yang bakal diumumkan dan dijangka apabila mesyuarat FOMC berakhir esok," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jangkaan penurunan kadar AS sebanyak 25 mata asas adalah keputusan yang pasti berdasarkan data pasaran buruh, perniagaan dan sentimen pengguna semasa.

“Bagaimanapun, hala tuju kadar faedah pada 2026 masih boleh dibincangkan walaupun Pengerusi Rizab Persekutuan yang baharu mungkin cenderung untuk melonggarkan dasar monetari,” katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.47971/4930 daripada 5.4729/4789 semasa ditutup semalam, lemah berbanding euro kepada 4.7868/7984 daripada 4.7873/7926 namun meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.6384/6450 daripada 2.6429/6460 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, mata wang tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1687/1769 daripada 3.1698/1735 semasa ditutup semalam, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 246.2/247.0 daripada 246.1/246.5 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8822/9224 daripada 12.9006/9204 semalam.

Bagaimanapun, ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.97/7.00 daripada 6.97/6.98.

-- BERNAMA