BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Malaysia Boleh Perangi Ancaman Siber Menerusi Usaha Nasional Terselaras - Fortinet

KUALA LUMPUR, 9 Dis Bernama) -- Malaysia perlu belajar untuk menyelaraskan usaha keselamatan siber merentas sempadan kerana serangan siber sering berpunca dari luar negara, kata Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Fortinet APAC, Rashish Pandey.

Beliau berkata kebanyakan serangan yang menyasarkan organisasi di Malaysia boleh datang dari mana-mana sahaja di dunia, menjadikan kerjasama antarabangsa sangat penting untuk memperkukuh pertahanan negara.

“Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) perlu bekerjasama rapat dengan rakan kongsi sehaluan di Asia, Eropah serta badan dunia seperti Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa atau Interpol untuk berkongsi risikan, memahami trend industri dan mengetahui strategi yang berkesan dalam memerangi ancaman,” katanya pada sidang media selepas taklimat media akhir tahun dan majlis makan tengah hari Fortinet di sini, hari ini.

Beliau berkata mengatasi ancaman siber yang muncul bukan lagi “keupayaan individu” dan tiada satu organisasi termasuk agensi kerajaan, penggiat industri atau institusi akademik dapat menyelesaikan isu itu secara bersendirian.

“Malaysia memerlukan tindak balas nasional terselaras, seperti visi kerajaan dengan fokus terhadap keselamatan siber dan undang-undang keselamatan siber yang baharu.

“Ini bermaksud pelanggan akhir, akademia, syarikat pemula niaga, pembuat dasar kerajaan dan vendor perlu bersama-sama untuk membentuk satu kerangka pertahanan bagi Malaysia demi melindungi rakyat dan organisasi kita,” katanya.

Rashish berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah antara kumpulan yang paling terdedah kepada serangan siber kerana banyak yang tidak mempunyai pasukan teknologi maklumat (IT) yang kukuh, walaupun PKS semakin bersepadu dengan rantaian bekalan global.

“Bukan kerana data yang PKS miliki, tetapi akses yang PKS berikan kepada pelanggan yang jauh lebih besar,” katanya.

Pengurus Negara Fortinet, Kevin Wong pula mencadangkan supaya PKS bekerjasama dengan rakan teknologi, penyedia perkhidmatan terurus dan pengendali telekomunikasi untuk menyediakan penyelesaian lebgkap bagi membantu mengurus landskap ancaman keselamatan siber.

-- BERNAMA