BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Labuan FSA Keluar Nota Panduan Maqasid Al-Shariah Untuk Labuan IBFC

LABUAN, 10 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) telah mengeluarkan Nota Panduan mengenai Maqasid al-Shariah untuk Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC). 

Ia menyediakan peserta pasaran dengan rangka kerja yang jelas dan praktikal untuk mengukuhkan penggunaan prinsip-prinsip Maqasid al-Shariah merentasi operasi perniagaan, amalan tadbir urus serta penawaran produk kewangan. 

Diiktiraf sebagai bidang kuasa global yang terkemuka untuk kewangan Islam, Labuan IBFC beroperasi di bawah salah satu rangka kerja undang-undang yang paling komprehensif di dunia, yang bernaung di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan (LIFSSA) 2010.

Labuan FSA melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan dengan penerbitan itu, Labuan IBFC menjadi Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) yang pertama dan satu-satunya yang mengeluarkan Nota Panduan khusus mengenai prinsip-prinsip Maqasid al-Shariah, ini seterusnya, mengukuhkan lagi kepimpinannya dalam sektor berkenaan.

Nota panduan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Pusat Aset Digital Islam (IDAC) yang lebih luas yang telah dilancarkan pada 2022 bagi mempromosikan amalan etika, telus dan mampan dalam Labuan IBFC. 

Ia bertujuan meningkatkan penggunaan Syariah melangkaui pematuhan semata-mata, menggalakkan lagi pendekatan holistik yang mampu menyokong penciptaan nilai jangka panjang dan kesan masyarakat yang positif.

Dengan menyelaraskan Maqasid al-Shariah dengan kerangka global, termasuk kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Matlamat Pembangunan Kemampanan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pelaburan Bertanggungjawab Sosial (SRI) serta Taksonomi Kemampanan Labuan IBFC (LiST) - Nota Panduan ini akan meletakkan Labuan IBFC di barisan hadapan usaha di seluruh dunia ke arah kemajuan masa depan kewangan yang adil, bertanggungjawab dan mampan. 

Kerangka Maqasid al-Shariah yang berdasarkan kepada lima aspirasi teras akan menyediakan pelan tindakan sejagat dan berpandangan ke hadapan bagi meningkatkan standard serta pertumbuhan progresif dalam ekosistem kewangan Labuan IBFC.

Aspirasi ini merangkumi usaha menjunjung urusan beretika dan adil; meningkatkan kestabilan dan daya tahan kewangan; memandu inovasi dan tujuan pertumbuhan; memperjuangkan kesaksamaan sosio-ekonomi dan keterangkuman kewangan serta pengawasan dan penerimaan kemampanan yang holistik. 

Dengan mengintegrasikan objektif etika dan moral ini dengan konsep kemampanan kontemporari, nota panduan menyokong pemain pasaran dalam mencapai nilai komersil jangka panjang sambil menyumbang kepada ekosistem kewangan yang bertanggungjawab dan berdaya tahan. 

Dengan mengintegrasikan objektif etika dan moral dengan konsep kemampanan kontemporari, Nota Panduan tersebut mampu menyokong pemain pasaran dalam mencapai nilai komersil jangka panjang sambil menyumbang kepada ekosistem kewangan yang bertanggungjawab dan berdaya tahan. 

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Nota Panduan Maqasid al-Shariah untuk Labuan IBFC, sila layari  www.labuanfsa.gov.my.

-- BERNAMA