BERITA TERKINI   Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor libat peruntukan RM130.42 juta daripada kerajaan negeri, agensi - MB | Selangor lancar Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Jun ini, langkah segera hadapi krisis tenaga global - MB  | 83 projek Bekalan Air Luar Bandar bernilai RM4.06 bilion diserah kuasa pelaksanaannya kepada kerajaan negeri Sabah - Ahmad Zahid | Sebanyak 299 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial - Fahmi | Sekatan akses media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dijangka dilaksanakan hujung Jun ini - Fahmi | 

Prospek Pendapatan Pemaju Hartanah Dijangka Terus Cerah Pada 2026 -- MBSB IB

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangkakan prospek pendapatan yang cerah bagi pemaju hartanah akan berterusan sehingga 2026, disokong oleh faktor peningkatan jualan pada 2024 dan 2025.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata pendedahan pemaju terhadap projek hartanah industri yang terus ketara, akan turut menyokong pertumbuhan jualan hartanah baharu.

“Kami kekal positif terhadap sektor itu berikutan minat belian terhadap hartanah kekal berdaya tahan sebagaimana dibuktikan menerusi pertumbuhan permohonan pinjaman.

“Pada masa sama, kami juga tidak begitu bimbangkan mengenai isu peningkatan jumlah kediaman tidak terjual dalam suku ketiga 2025 kerana keadaan itu di kebanyakan negeri-negeri utama masih stabil,” katanya.

Selain itu, MBSB IB berkata jualan hartanah baharu kebanyakannya di landasan tepat untuk menepati sasaran ditetapkan pihak pengurusan masing-masing yang menunjukkan momentum jualan juga kekal stabil.

“Bagi masa depan, kami menjangkakan minat pembelian akan terus kukuh pada 2026, disokong oleh prospek harga rumah di Malaysia selain pembangunan infrastruktur termasuk (di Johor) iaitu Sistem Transit Johor Bahru–Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura,” katanya.

-- BERNAMA