BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Kenanga Naikkan Unjuran Pertumbuhan KDNK Suku Keempat 2025 Malaysia Kepada 5.0 Peratus

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Kenanga Research menyemak semula unjurannya untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku keempat 2025 kepada 5.0 peratus, lebih tinggi daripada anggaran awal sebanyak 4.0 peratus.

Unjurannya adalah berdasarkan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan walaupun terdapat petunjuk eksport rendah baru-baru ini.

Menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini, semakan semula tersebut menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun penuh 2025 kepada 4.8 peratus.

“Walaupun eksport pada November dicatatkan rendah menunjukkan penurunan dalam jangka pendek, kami menjangka peningkatan semula menjelang Tahun Baharu Cina,” katanya.

Menurut Kenanga, potensi impak daripada langkah tarif Amerika Syarikat dijangka tertangguh sehingga tahun depan, mengehadkan risiko penurunan secara serta-merta terhadap pertumbuhan pada 2025.

Mengenai prestasi perdagangan, katanya pertumbuhan eksport merosot kepada 7.0 peratus pada November daripada 15.7 peratus pada Oktober, mencatatkan kadar pertumbuhan paling lemah dalam tempoh tiga bulan dan berada di bawah jangkaan.

Bulan ke bulan, eksport merosot 5.6 peratus berbanding peningkatan 6.7 peratus pada Oktober, sejajar dengan trend bermusim kerana November biasanya mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan.

Sementara itu, katanya pertumbuhan import mengukuh, didorong terutamanya oleh peningkatan import barangan modal dan barangan separa siap.

-- BERNAMA