ITMAX Peroleh Kontrak Lampu Isyarat Pintar Dari DBKL Bernilai RM42 Juta
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- ITMAX System Bhd menerima surat setuju terima daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan sistem lampu isyarat pintar menerusi kontrak bernilai RM42 juta.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia penyelesaian infrastruktur digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu berkata kontrak selama tiga tahun tersebut akan bermula selepas DBKL mengeluarkan perintah kerja.
DBKL juga akan memaklumkan tarikh pengambilalihan tapak projek oleh ITMAX dan tempoh siap kerja dalam masa terdekat, katanya.
ITMAX berkata kerja-kerja atau perkhidmatan tidak boleh dimulakan sehingga syarat-syarat awal dalam surat setuju terima dipenuhi, termasuk penyediaan bon prestasi RM700,000 serta penyerahan nota perlindungan insurans dan resit pembayaran berkaitan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System Bhd William Tan Wei Lun berkata penganugerahan kontrak itu mencerminkan keyakinan DBKL terhadap sistem pengawal trafik pintar milik kumpulan berkenaan, yang dibangunkan oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan dalaman syarikat.
“Sistem lampu isyarat pintar kami menggabungkan infrastruktur kamera litar tertutup (CCTV) dengan analisis berasaskan AI bagi memantau trafik secara masa nyata, kawalan isyarat adaptif dan membuat keputusan berasaskan data, sekali gus meningkatkan kelancaran aliran trafik dan keselamatan jalan raya.
“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan DBKL bagi menyokong usaha Kuala Lumpur menuju ekosistem mobiliti bandar yang lebih pintar, terhubung dan cekap,” katanya.
-- BERNAMA