Petronas, CNOOC Perkukuh Kerjasama Melalui Perjanjian Bekalan LNG
KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menerusi anak syarikatnya Petronas LNG Ltd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan CNOOC Gas and Power Singapore Trading & Marketing Pte Ltd bagi pembekalan 1.0 juta tan setahun (MTPA) gas asli cecair (LNG).
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata perjanjian itu dibina atas hubungan kerjasama jangka panjang antara Petronas dan CNOOC, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam pembekalan LNG serta menyokong pertumbuhan ekonomi China dan agenda tenaga bersih negara itu.
Menurutnya, perjanjian berkenaan merangkumi aspirasi “dwi karbon”, iaitu untuk mencapai kemuncak pelepasan karbon sebelum 2030 dan neutraliti karbon menjelang 2060.
“Komitmen jangka panjang ini mengukuhkan kedudukan Petronas sebagai rakan LNG yang dipercayai kepada China, di samping mencerminkan kerjasama berterusan dengan CNOOC dalam antara pasaran gas paling dinamik di Asia,” katanya.
Seiring peningkatan permintaan Asia terhadap bahan api rendah karbon, Petronas berkata ia akan terus membekalkan LNG daripada portfolio sedia ada bagi menyokong keperluan tenaga pelanggan yang semakin berkembang di seluruh rantau ini.
Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas Shamsairi M Ibrahim berkata perjanjian dengan CNOOC itu menandakan peningkatan hubungan antara kedua-dua pihak, sekali gus memajukan komitmen bersama terhadap keselamatan tenaga dan masa depan rendah karbon.
“Selain pembekalan LNG, ia mencerminkan pembangunan berterusan perkongsian jangka panjang kami. Petronas kekal komited untuk menyediakan penyelesaian LNG yang boleh dipercayai dan lebih bersih, sambil bekerjasama dengan rakan strategik bagi memajukan matlamat peralihan tenaga bersama,” katanya.
-- BERNAMA