Niaga Hadapan MSM Menyusut Selepas Stok Meningkat
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas pasaran terus berhati-hati susulan peningkatan paras stok.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd dari Kuala Lumpur, David Ng berkata harga telah ditekan oleh jangkaan inventori tempatan yang agak tinggi, ini menjejaskan sentimen.
“MSM ditutup lebih rendah selepas pasaran kekal berhati-hati terhadap kenaikan paras stok,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penutupan yang lebih lemah mencerminkan dagangan defensif, dengan peserta mengambil kira peningkatan inventori yang menunjukkan tekanan bekalan jangka pendek dan mengurangkan keperluan untuk berada dalam posisi beli.
Harga dijangka akan disokong pada paras RM4,000 setan, dengan rintangan dilihat pada RM4,150.
Data industri daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan stok simpanan MSM Malaysia bertambah sebanyak 17.56 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.74 juta tan pada November 2025 daripada paras Oktober.
Pada penutup, kontrak Januari 2026 jatuh RM51 kepada RM4,009 setan, Februari 2026 susut RM434 kepada RM4,038 dan Mac merosot RM42 kepada RM4,047.
Kontrak April 2026 melemah RM36 kepada RM4,049 setan, Mei 2026 mencatatkan penurunan berjumlah RM31 kepada RM4,041 dan Jun 2026 berkurangan sebanyak RM23 kepada RM4,026.
Jumlah dagangan turun kepada 38,112 lot berbanding 50,937 lot yang disaksikan pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 258,679 kepada 257,694 sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk Januari Selatan susut RM50 kepada RM4,030 setan.
-- BERNAMA