BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

LGM Aktifkan Insentif Pengeluaran Getah Bagi Disember 2025

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah sekerap dan lateks diaktifkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk Disember 2025, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).

LGM dalam satu kenyataan hari ini berkata kadar IPG getah sekerap di Semenanjung Malaysia ialah lima sen sekilogram (kg) bagi 50 peratus kandungan getah kering (KGK) dan 10 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK.

Kadar IPG getah sekerap di Sabah ialah 35 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan 70 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK, manakala di Sarawak kadarnya ialah 40 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan 80 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK. 

Sementara itu, kadar IPG lateks bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ialah 90 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK. 

IPG itu diaktifkan jika harga purata bulanan di peringkat ladang bagi getah sekerap ialah RM3.00 sekilogram atau kurang. IPG untuk lateks diaktifkan apabila IPG getah sekerap diaktifkan. 

Pada Disember 2025, harga purata di peringkat ladang bagi getah sekerap ialah Semenanjung Malaysia RM2.95 sekilogram, Sabah RM2.65 sekilogram dan Sarawak RM2.60 sekilogram. 

IPG itu akan dibayar kepada semua pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang layak.

Menurut LGM, pekebun kecil di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah layak untuk menerima bayaran IPG bermula 1 Januari hingga 31 Jan, 2026 berdasarkan pengeluaran getah pada Disember 2025. 

-- BERNAMA