BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 1-1 KL City | Liga Super: NSFC 0-1 JDT | 

Ekonomi Malaysia Diunjur Tumbuh 4.3 Peratus Pada 2026 -- Affin Bank

GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) -- Affin Bank Bhd menjangkakan ekonomi Malaysia dapat mengekalkan momentum kukuh pertumbuhannya dengan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.3 peratus pada 2026 susulan pengembangan 4.6 peratus pada tahun lepas.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata faktor seperti perkembangan geopolitik global, termasuk krisis terkini di Venezuela, hanya membuktikan kepentingan keterjaminan tenaga dengan harga minyak dijangka kekal tinggi melebihi US$56 setong.

“Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada 2026, disokong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh, disiplin fiskal yang makin baik dan permintaan domestik yang berdaya tahan serta prospek KDNK diunjurkan.

“Dari segi pertukaran mata wang asing, Affin Group kekal optimis terhadap ringgit yang diunjur mengukuh kepada RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2026 daripada RM4.06 pada 2025. Prospek ini disokong oleh aliran masuk asing yang kukuh serta keyakinan pelabur yang berterusan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Kumpulan Affin Bank, di sini malam tadi.

Wan Razly berkata sejak setahun lepas, ringgit juga muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia Tenggara, sekali gus memaparkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh.

Beliau juga menyifatkan 2026 sebagai tahun penentu bagi mata wang dan ekonomi secara keseluruhannya, dipacu oleh sentimen FDI yang positif serta langkah kerajaan menangani defisit belanjawan, termasuk jangkaan pengurangan subsidi bahan api.

Pada masa sama, kumpulan itu turut menjangkakan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencatat trend meningkat dengan unjuran mencecah paras 1,780 mata pada 2026 berbanding 1,680 mata pada 2025 atau mewakili peningkatan sebanyak enam peratus.

“Indeks itu dijangka mengatasi prestasi Indeks MSCI Jepun, disokong oleh persekitaran makroekonomi yang menggalakkan serta aliran masuk modal,” katanya.

Menurutnya, prospek positif sedemikian hanya mengukuhkan lagi peranan kumpulan yang melangkaui perbankan tradisional, berpandukan visi untuk muncul sebagai syarikat kewangan paling kreatif dan inovatif di Malaysia.

Ini juga seiring dengan strategi kumpulan yang berpaksikan tiga tonggak utama iaitu perkhidmatan pelanggan terbaik yang tiada tandingan, kepimpinan digital serta perbankan bertanggungjawab yang berimpak.

"Di bawah teras perkhidmatan pelanggan itu, kumpulan Affin mengumumkan pengambilalihan Affin PHEIM Asset Management pada 20 Nov, 2025, yang mengukuhkan kehadiran dalam sektor pengurusan dana.

“Kumpulan menyasarkan untuk melancarkan perniagaan pengurusan asetnya pada suku kedua 2026. Selain itu, Moody’s Ratings telah mengekalkan penarafan kredit antarabangsa Affin Group pada ‘A3’ selain menaik taraf penarafan kendiri kepada ‘Baa2’ yang mencerminkan mudah tunai kukuh serta profil pembiayaan yang mantap,” katanya.

Menyentuh operasi kumpulan perbankan itu, Wan Razly berkata Affin juga akan terus mengembangkan rangkaian fizikalnya, khususnya di Pulau Pinang yang mempunyai 13 cawangan, termasuk tiga cawangan baharu dilancarkan di Air Itam, Bukit Mertajam dan Jelutong pada 2025.

Kumpulan itu juga merancang untuk memperluaskan lagi rangkaian cawangannya pada separuh pertama 2026 bagi meningkatkan aksesibiliti pelanggan.

Pengembangan itu, katanya, menyokong pertumbuhan segmen perbankan komuniti dengan pertumbuhan pinjaman di Pulau Pinang meningkat sebanyak lapan peratus yang mencerminkan permintaan kukuh serta keyakinan pelanggan.

"Sejajar dengan agenda kepimpinan digital yang menekankan aspek inovasi digital dan kemampanan, Affin telah memperkenalkan ATMOZFR -- aplikasi gaya hidup yang menawarkan akses kepada konsert dan acara langsung selain mengintegrasikan perkhidmatan perjalanan, makanan serta perbankan premium seperti Affin Diventium dan Affin Inviktahas,” katanya.

Bagi aspek kemampanan, Wan Razly berkata Affin telah menyatakan portfolio pembiayaan mampannya merangkumi 12.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman setakat suku ketiga 2025 yang selari dengan kemajuan ke arah sasaran 25 peratus menjelang 2028.

“Susulan sambutan ulang tahun ke-50, kumpulan Affin kini memasuki fasa pertumbuhan seterusnya dengan suntikan matlamat yang diberi nafas baharu, memanfaatkan asas kukuh untuk mempercepat kemajuan, memperdalam kepercayaan pihak berkepentingan serta merebut peluang baharu ketika melangkah ke arah 2026 dan seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA