BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 1-1 KL City | Liga Super: NSFC 0-1 JDT | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Susulan Momentum Belian Bertambah Baik

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat dengan dagangan kebanyakannya tertumpu kepada kaunter berwajaran tinggi utama.

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.12 mata atay 0.25 peartsu kepada 1,673.69 daripada 1,669.57 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu buka 0.87 mata lebih tinggi kepada 1,670.44.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 159 berbanding 96 manakala 273 kaunter tidak berubah, 2,121 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 93.17 juta unit bernilai RM50.22 juta.

Apex Securities menjangkakan pelabur akan terus memantau perkembangan geopolitik global termasuk strategi Amerika Syarikat (AS) mengenai Venezuela dan Greenland serta keputusan Mahkamah Agung AS yang akan datang mengenai tarif diperkenalkan Presiden AS Donald Trump yang mungkin menyumbang kepada turun naik pasaran.

Tumpuan akan kekal pada senarai gaji bukan ladang AS pada Jumaat untuk petunjuk mengenai trajektori penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS, manakala kemas kini mengenai pasaran buruh AS yang bercampur-campur termasuk jumlah pemberhentian pekerja yang rendah tetapi pada masa sama, tawaran pekerjaan yang merosot, menambah sentimen berhati-hati.

Apex Securities mengekalkan tinjauan positif terhadap saham tenaga dan tenaga boleh baharu, disokong oleh permintaan stabil dan inisiatif peralihan tenaga jangka panjang.

“Saham teknologi kekal positif, didorong oleh permintaan global untuk penyelesaian berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan trend pendigitalan yang berterusan walaupun beberapa aktiviti pengambilan untung mungkin berlaku susulan kenaikan baru-baru ini.

“Dalam tempoh ketidakpastian global, kami mengutamakan sektor defensif seperti amanah pelaburan hartanah (REIT),” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM10.74, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.51, CIMB menambah satu sen kepada RM8.07, TNB melonjak dua sen kepada RM13.58, Press Metal tidak berubah pada RM7.08, bagaimanapun IHH Healthcare turun satu sen kepada RM8.53.

Bagi saham aktif, Tanco naik satu sen kepada RM1.24, Orkim menokok tiga sen kepada RM1.12, Zetrix AI dan Berjaya Corp naik setengah sen masing-masing kepada 82 sen dan 27.5 sen, manakala MMAG tidak berubah pada tujuh sen dan Nextgreen susut 0.5 sen kepada 79.5 sen.  

Saham paling untung menyaksikan Hong Leong Bank naik 14 sen kepada RM22.78, Malaysian Pacific Industries menokok 10 sen kepada RM32.50, KSL naik enam sen kepada RM3.29, manakala Alliance Bank dan Itmax menambah lima sen masing-masing kepada RM5.06 dan RM4.97.

Bagi saham paling rugi, Hong Leong Industries merosot 14 sen kepada RM16.52, TM berkurangan enam sen kepada RM7.86, IJM dan TSA menguncup empat sen masing-masing kepada RM2.69 dan 71 sen, manakala Hextar dan Country View turun tiga sen masing-masing kepada RM1.15 dan RM2.92.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 25.58 mata kepada 12,375.0, Indeks FBM Top 100 meningkat 26.54 mata kepada 12,163.29, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 11.45 mata kepada 12,178.49, Indeks FBM Mid 70 menokok 22.50 mata kepada 17,342.08 dan Indeks FBM ACE menambah 5.82 mata kepada 4,988.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 79.92 mata kepada 19,819.65, Indeks Tenaga naik 2.46 mata kepada 772.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.14 mata kepada 172.04 dan Indeks Perladangan meningkat 3.62 mata kepada 8.441.32.

-- BERNAMA