Pengiktirafan Terhadap Malaysia Oleh FATF Bukti Kerangka Kerja AML Labuan IBFC Kukuh
LABUAN, 9 Jan (Bernama) --Pengiktirafan terhadap Malaysia oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) baru-baru ini di bawah status 'Susulan Berkala' (Regular Follow-Up) untuk Laporan Penilaian Bersama 2025 (MER 2025) telah menggariskan keyakinan antarabangsa terhadap rangka kerja berasaskan risiko negara yang mantap untuk pencegahan pengubahan wang haram, pembiayaan anti-keganasan dan pembiayaan anti-percambahan (AML/CFT/CPF).
Dalam penilaian tersebut, Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah diiktiraf kerana menyumbang kepada hasil penilaian keseluruhan Malaysia yang kukuh, mencerminkan keberkesanan langkah-langkah pengawalseliaan dan penyeliaan dilaksanakan di pusat kewangan luar pesisir tersebut.
Labuan FSA dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini berkata penilaian tersebut mengetengahkan peranan utama pihak berkuasa dalam memperkukuh rangka kerja AML/CFT/CPF kebangsaan menerusi pengawasan ketat terhadap pasaran Labuan IBFC.
Imbas kembali MER 2025, Labuan FSA menunjukkan pemahaman yang kukuh mengenai risiko pengubahan wang haram dalam Labuan IBFC, laporan tersebut menyatakan peluang untuk memperkasakan lagi penilaian risikonya bagi menangani tipologi yang semakin canggih.
Laporan itu juga menilai secara positif pelesenan, pendaftaran dan kawalan penyeliaan pihak berkuasa ke atas sektor syarikat amanah Labuan, menggambarkan pendekatan pelesenan yang mantap sebagai kekuatan utama rangka kerja AML/CFT/CPF Malaysia.
Syarikat amanah memainkan peranan penting sebagai penjaga pintu dalam mencegah penjenayah dan rakan sekutu mereka daripada mendapat akses kepada institusi kewangan, menjadikan penyeliaan yang berkesan penting untuk melindungi integriti Labuan IBFC.
Selain itu, MER mengetengahkan penggunaan teknologi penyeliaan canggih Labuan FS termasuk analisis rangkaian, untuk mewujudkan hubungan antara pemilik benefisial merentasi pelbagai entiti.
Dengan memanfaatkan maklumat dalam pendaftarannya, pihak berkuasa telah dapat mendedahkan hubungan terangkum, menjalankan persampelan berasaskan risiko dan mengenal pasti kemungkinan pemilik benefisial muktamad serta memperkukuh ketelusan dan pengawasan.
Melangkah ke depan, Labuan FSA dijangka terus bekerjasama rapat dengan institusi kewangan Labuan untuk memperkukuh lagi peraturan AML/CFT/CPF dalam Labuan IBFC.
Keutamaan utama termasuk memahami landskap risiko yang berkembang, memajukan penyeliaan berasaskan risiko, memperkukuh ketelusan pemilikan benefisial dan mengekalkan penjajaran dengan piawaian FATF yang berubah-ubah.
Usaha-usaha ini mengesahkan semula komitmen berterusan Labuan IBFC untuk kekal sebagai pusat kewangan antarabangsa yang berwibawa, dikawal selia dengan baik dan berdaya tahan serta memperkukuh integriti dan kedudukan Malaysia dalam sistem kewangan global.
-- BERNAMA