BERITA TERKINI   Liga Super: Sabah FC 1-1 KL City | Liga Super: NSFC 0-1 JDT | 

MIVSB, ACSB Bekerjasama Perluas Teknologi Mendalam Malaysia Ke Peringkat Global

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- MIMOS International Venture Sdn Bhd (MIVSB) menjalinkan kerjasama strategik dengan ALAA Consultancy (M) Sdn Bhd (ACSB) bagi memperluas teknologi mendalam Malaysia ke pasaran global.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, MIVSB dan ACSB menjelaskan kerjasama itu mengukuhkan peranan MIVSB sebagai pintu gerbang pengkomersialan utama Malaysia untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) nasional.

Usaha tersebut juga membolehkan kedua-dua pihak dihubungkan lebih langsung dengan modal antarabangsa dan rakan industri, tambahnya.

“Berlandaskan penglibatan global MIMOS yang kukuh, kerjasama ini meletakkan MIVSB untuk memacu fasa seterusnya dalam pengkomersialan antarabangsa manakala ACSB akan menyokong dengan memudahkan akses kepada pelabur global terutamanya di Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Tengah," menurut kedua-dua pihak.

MIVSB dan ACSB memaklumkan memorandum persefahaman (MOU) berkenaan usaha itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan MIVSB Mohamad Azriani Abd Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ACSB Husna Nashim.

Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi ACSB Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Holdings Sdn Bhd yang juga Pengarah Eksekutif MIVSB.

Majlis pemeteraian MoU itu turut dihadiri wakil kedutaan Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Turkiye.

Sementara itu, Mohamad Azriani berkata tumpuan pihkanya adalah bagi memastikan usaha bersama itu mencapai pasaran antarabangsa.

“Kerjasama ini mengukuhkan peranan MIVSB sebagai jambatan di antara R&D negara dengan peluang komersial global selain membolehkan kami berkembang dengan jelas, berdisiplin dan mencipta nilai jangka masa panjang," katanya.

Dalam pada itu, Dr Madinah pula berkata pihaknya komited untuk menyokong hasrat global MIVSB.

"Rangkaian dana berdaulat dan rakan strategik kami menyediakan struktur modal yang diperlukan untuk membawa inovasi Malaysia ke peringkat global," katanya.

Kedua-dua syarikat memaklumkan kerjasama itu dirancang untuk memberikan manfaat jangka masa panjang yang ketara kepada ekonomi Malaysia dengan memajukan lagi kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai teknologi.

"Kerjasama ini dijangka memberikan manfaat jangka masa panjang dengan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pencetus teknologi global, menarik pelaburan langsung asing berkualiti tinggi, mempercepatkan pengkomersialan harta intelek Malaysia dan meningkatkan pulangan ekonomi daripada pelaburan R&D awam," jelas kedua-dua pihak.

Razman Jaafar pula berkata kerjasama itu memperkukuh model yang mampan dan berisiko rendah untuk penglibatan antarabangsa serta memastikan kecemerlangan penyelidikan Malaysia terus diterjemahkan kepada impak ekonomi dan daya saing global.

Pada fasa pertama kerjasama itu, MIVSB dan ACSB akan mula mengenal pasti platform teknologi berimpak tinggi untuk pelaburan merentas sempadan dan peluang usaha sama sebagai sebahagian daripada pelan tindakan yang lebih luas untuk meletakkan penyelesaian teknologi mendalam Malaysia di pentas global.

-- BERNAMA