BERITA TERKINI   Perbincangan MCMC dengan pihak X diadakan 21 Jan - Fahmi | STR Fasa 1 tahun 2026 disalurkan mulai 20 Jan, beri manfaat kepada lima juta penerima - PMO | Kadar perbelanjaan bantuan SARA capai 100 peratus tahun lepas, bukti keberkesanan kepada rakyat - PMO | Pelaksanaan bantuan, subsidi bersasar bantu sokong kuasa beli golongan memerlukan - PMO | Kadar pengangguran negara mencatat 2.9 peratus, terendah dalam tempoh 11 tahun - PMO | 

AAX Belum Muktamad Menamakan Semula Syarikat Kepada AirAsia Pada 19 Jan

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- AirAsia X Bhd (AAX) menjelaskan bahawa tiada sebarang keputusan muktamad telah dibuat untuk menamakan semula syarikat itu kepada AirAsia pada 19 Januari, 2026.

Sebaliknya, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu berkata ia sedang meneliti kemungkinan penukaran nama syarikat bagi mencerminkan penggabungan perniagaan penerbangan AirAsia Group setelah selesai pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam AirAsia Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd.

“Pada masa ini, tiada keputusan muktamad telah dibuat dan tiada permohonan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan berhubung cadangan penukaran nama berkenaan.

“Sebarang cadangan sedemikian masih tertakluk kepada perbincangan dalaman, kelulusan lembaga pengarah, kelulusan kawal selia dan kelulusan pemegang saham, jika berkaitan,” kata AAX dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, sambil menambah syarikat itu akan membuat pengumuman yang diperlukan, jika ada dan pada masa yang sesuai.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd (syarikat induk AAX), Tan Sri Tony Fernandes berkata dalam satu hantaran di LinkedIn semalam bahawa AAX akan dinamakan semula sebagai AirAsia dan disenaraikan sebagai saham baharu pada 19 Januari.

-- BERNAMA