BMW Lancar EV Pemasangan Tempatan Pertama, Jadi Pencapaian Besar Dalam Usaha Elektrifikasi
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- BMW Group Malaysia mula menjual BMW i5 eDrive40 M Sport Pro (BMW i5), model kenderaan elektrik (EV) pertama yang dipasang di peringkat tempatan, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha elektrifikasi ketika BMW menyasarkan pertumbuhan berterusan dalam segmen premium.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Benjamin Nagel berkata pemasangan tempatan BMW i5 membuktikan komitmen jangka masa panjang pihaknya terhadap Malaysia serta pembangunan ekosistem EV negara.
“Pemasangan tempatan BMW i5 serba baharu menandakan begitu lama usaha kami, meliputi usaha memperkenalkan mobiliti elektrik hingga kini membinanya sendiri di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran model baharu BMW di sini, hari ini.
BMW turut memperkenalkan EV baharu dalam siri X, BMW iX1 eDrive20L M Sport (BMW iX1), yang dijangka dilancarkan kemudian.
Beliau berkata BMW i5 kini tersedia untuk jualan manakala BMW iX1 dijangka mula dijual pada suku pertama tahun ini.
BMW i5 baharu akan dijual pada harga RM368,800 manakala iX1 dianggarkan berharga RM255,000.
Nagel berkata BMW Group Malaysia menyasar untuk meningkatkan momentum daripada prestasi 2025 dengan penghantaran sebanyak 10,800 kenderaan, walaupun tiada sasaran jualan khusus ditetapkan bagi tahun ini.
“Kami tidak menetapkan angka yang khusus, sudah tentu perkara ini sentiasa bergantung kepada perkembangan pasaran, namun kami yakin akan terus membentuk segmen premium serta terus mengembangkan dan mengukuhkan kepimpinan kami dalam pasaran,” katanya.
Nagel berkata kilang pemasangan BMW Group Malaysia di Kulim, Kedah berperanan strategik dalam menyokong pasaran serantau, dengan jenama itu telah mengeksport lebih 11,800 kenderaan setakat ini ke Filipina dan Thailand.
Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran strategik bagi kumpulan itu di ASEAN dan Asia Pasifik, katanya.
Sementara itu, sempena Tahun Kuda, BMW Group Malaysia turut memperkenalkan MINI Countryman S Fiery Stallion Edition edisi terhad.
Simbolisme budaya Cina memberi inspirasi bagi model edisi terhad baharu itu dengan rekaan bebayang “Kuda Api” pada bahagian pintu serta lambang gril khas dengan ikon kuda jantan.
Model edisi terhad pemasangan tempatan itu dikeluarkan sebanyak 18 unit sahaja dan kini ditawarkan pada harga RM260,888.
-- BERNAMA