BERITA TERKINI   Liga Super: Penang FC 2-1 DPMM FC |  54 kapal GSF kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza -- KP SNCC  | Kapal GSF dijangka memasuki zon berisiko tinggi malam ini, berpotensi berdepan pemintasan - KP SNCC | Pada 6 petang, ringgit turun kepada 3.9515/9580 berbanding dolar AS, daripada 3.9300/9330 ketika ditutup pada Khamis | Pengurusan fiskal yang bertanggungjawab membolehkan kerajaan mengurangkan dampak kenaikan harga bahan api global di samping terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi - PM Anwar | 

PNB Tawar Sukuk Boleh Tukar Bercagar US$300 Juta Bagi Perkukuh Kepelbagaian Portfolio

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan sukuk boleh tukar bercagar bernilai US$300 juta yang mencerminkan komitmen berterusannya untuk memperkukuh daya tahan portfolio serta memberikan pulangan mampan dan jangka panjang kepada pemegang unit

Dalam kenyataan hari ini, PNB berkata sukuk itu diterbitkan melalui syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Labuan, Lunas Capital II Ltd, dengan Lunas Capital I Ltd, iaitu syarikat tujuan khas yang diperbadankan di Labuan, sebagai pihak yang berkewajipan (obligor).

“Sukuk boleh tukar itu merupakan inisiatif strategik yang dirangka untuk memperkukuh kepelbagaian portfolio melalui pengumpulan hasil dalam mata wang asing bagi pelaburan dalam aset global, khususnya sukuk global,” kata syarikat pengurusan dana itu.

PNB berkata tawaran ini akan ditukar kepada saham biasa Gamuda Berhad, sebuah syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur yang mempunyai operasi di seluruh Asia, Australia dan United Kingdom.

Hasil daripada tawaran ini akan diperuntukkan untuk pelaburan dalam aset sukuk global dengan gred pelaburan yang didenominasikan dalam dolar AS, katanya.

Cadangan penerbitan sukuk boleh tukar ini, dengan hasil yang akan diperuntukkan untuk pelaburan dalam aset sukuk global dengan gred pelaburan mematuhi Syariah dan didenominasikan dalam dolar AS, menunjukkan komitmen PNB terhadap amalan pelaburan patuh Syariah.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata tawaran itu membolehkan syarikat memanfaatkan nilai pegangan ekuiti domestik, mengurangkan risiko pertukaran asing serta menyediakan kepelbagaian yang lebih besar selaras dengan Perumpukan Aset Strategik di bawah Pelan Strategik LEAP 6.

Sukuk boleh tukar ini mempunyai tempoh matang selama lima tahun, dengan pilihan jual untuk pelabur yang boleh dilaksanakan pada akhir tahun ketiga.

Kualiti kredit sukuk ini dipertingkatkan melalui cagaran yang disediakan oleh Lunas Capital I bagi pihak pemegang sukuk boleh tukar, yang merangkumi saham asas serta aset sukuk global yang didenominasikan dalam dolar AS.

Kualiti kredit yang kukuh, dipadankan dengan asas yang mantap bagi saham asas, membolehkan sukuk boleh tukar ini ditawarkan dengan kadar keuntungan yang menarik iaitu sifar peratus dengan premium pertukaran sebanyak 10 peratus.

Tawaran ini dijangka dapat meluaskan landskap instrumen boleh tukar yang diniagakan secara global di Malaysia serta menyokong pertumbuhan dan kecairan pasaran modal domestik.

CIMB dan J.P. Morgan bertindak sebagai pengurus utama tawaran bersama dan pengurus utama bersama bagi transaksi ini.

-- BERNAMA