BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Kelantan The Real Warriors FC  1-2 Selangor FC   | 

Pulau Pinang Perlu Ambil Peluang Daripada Peningkatan Ekonomi China

GEORGE TOWN, 19 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang perlu mengambil peluang yang timbul daripada peningkatan struktur ekonomi China dengan mengukuhkan kerjasama dalam pembuatan berteknologi tinggi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim Chee Keong.

Beliau melalui satu kenyataan semalam memberitahu kerjasama yang lebih mendalam dalam sinergi perindustrian, pemindahan kemahiran dan integrasi pasaran akan membolehkan Pulau Pinang, sebagai hab terulung bagi pembuatan berteknologi tinggi, mengharungi cabaran global dengan lebih baik seperti dasar perlindungan yang semakin menebal dan ketidaktentuan ekonomi luaran.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kunjungan hormat delegasi Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang ke Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang baru-baru ini.

Sim, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, mengetuai delegasi itu bagi bertemu dengan Konsul Jeneral Zhou Youbin dan pasukannya untuk meneroka jalan dalam melonjakkan kerjasama perdagangan, budaya, pelancongan dan tadbir urus.

Beliau juga menyatakan bahawa ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, yang disambut pada tahun lepas, menandakan momentum bersejarah kepada kedua-dua negara.

Pencapaian ini menawarkan peluang baharu untuk mengukuhkan kerjasama, khususnya yang melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di kedua-dua negara.

Sementara itu, Zhou yang berkongsi pandangan Sim, mengenal pasti potensi besar untuk kerjasama dalam sektor baru muncul seperti tenaga hijau, ekonomi digital, pembuatan pintar dan industri kreatif.

Zhou menekankan bahawa Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang mengutamakan hubungan rapat dengan kerajaan empat negeri di utara Malaysia.

Konsulat itu bersedia untuk bekerjasama dalam memperdalamkan kerjasama subnasional termasuk mengukuhkan pertukaran antara China dan Malaysia, katanya lagi.

-- BERNAMA