Inflasi Malaysia Meningkat 1.6 Peratus Pada Disember 2025 - Perangkaan

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Disember 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.5 berbanding 133.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata peningkatan itu didorong oleh inflasi yang lebih tinggi untuk pelbagai kumpulan termasuk penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan, yang meningkat 5.7 peratus berbanding 5.6 peratus pada November.

Ini diikuti oleh pendidikan yang meningkat 2.8 peratus berbanding 2.6 peratus sebelum ini, manakala minuman beralkohol dan tembakau naik 2.5 peratus berbanding 2.4 peratus pada November.

Bagi kumpulan lain, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menokok 0.9 peratus (November 2025: 0.7 peratus); maklumat dan komunikasi bertambah 0.9 peratus (November 2025: -1.3 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah naik 0.3 peratus (November 2025: 0.2 peratus) manakala pakaian dan kasut meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus (November 2025: -0.1 peratus).

Pada November 2025, kadar inflasi Malaysia meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata 62.8 peratus daripada item, iaitu 360 daripada 573 barangan merekodkan peningkatan harga pada Disember.

Daripada jumlah itu, 350 barangan, iaitu 97.2 peratus, merekodkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 10 barangan mencatat kenaikan melebihi 10 peratus pada Disember. Selebihnya, 172 barangan atau 30 peratus menunjukkan penurunan dan 41 barangan kekal tidak berubah, kata beliau.

DOSM berkata purata harga petrol RON97 kekal pada RM3.24 seliter pada Disember.

“Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia ialah RM3.03 seliter berbanding RM3.05 seliter pada November 2025 (Disember 2024: RM2.95 seliter).

“Bagaimanapun, purata harga diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” kata DOSM.

Sementara itu, di peringkat negeri, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional sebanyak 1.6 peratus iaitu Johor pada 2.3 peratus, Negeri Sembilan (2.2 peratus), Pahang (1.8 peratus), Labuan (1.8 peratus) dan Selangor (1.7 peratus).

Baki 11 negeri menunjukkan peningkatan di bawah dan sama dengan kadar inflasi nasional dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah (0.5 peratus) pada Disember 2025, kata Mohd Uzir.

Jika dibandingkan dengan beberapa negara serantau terpilih, inflasi di Malaysia pada 1.6 peratus adalah lebih rendah daripada inflasi di Vietnam iaitu 3.5 peratus, Indonesia (2.9 peratus) dan Republik Korea (2.3 peratus), tetapi kadar itu lebih tinggi berbanding China iaitu 0.8 peratus dan Thailand (-0.3 peratus).

-- BERNAMA