BERITA TERKINI   PM Anwar mahu prestasi SMK Banggi sebagai pusat pembangunan modal insan dipertingkat, mahu laporan dalam dua minggu | RM1 juta naik taraf jeti Kampung Dogoton, Pulau Banggi bagi kegunaan penduduk dan agensi penguatkuasa - PM Anwar | RM1.25 juta untuk pelbagai program termasuk pendidikan, teknologi hijau dan kesihatan di Pulau Banggi - PM Anwar | Naik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut-Kampung Pengkalan Darat di Pulau Banggi dilaksana dengan kos hampir RM44 juta - PM Anwar | Kerajaan lulus lebih RM31 juta untuk naik taraf infrastruktur dan kemudahan rakyat di Pulau Banggi - PM Anwar | 

Maybank Rancang Perkenal Aplikasi Perbankan Runcit Baharu Ganti MAE

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Maybank merancang memperkenalkan aplikasi perbankan runcit baharu untuk menggantikan aplikasi MAE sedia ada, sebagai sebahagian daripada pelaburan dalam teknologi yang lebih luas bagi meningkatkan keupayaan digital dan memperkukuh penglibatan pelanggan di seluruh rantau ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata aplikasi baharu itu merupakan sebahagian daripada pelaburan dalam teknologi berjumlah RM10 bilion untuk tempoh lima tahun.

Beliau berkata aplikasi baharu itu bertujuan untuk mengatasi keupayaan sedia ada dan akan dibangunkan sebagai satu platform tunggal bagi memenuhi keperluan pelbagai pasaran dan negara untuk jejak serantau kumpulan berkenaan.

“MAE memang bagus, namun terdapat beberapa keupayaan tertentu yang perlu kami laksanakan. Kami kini memberi tumpuan kepada pembangunan untuk kumpulan dan rantau ini.

"Kami mahu membangunkan satu platform tunggal bagi pelbagai jejak dan negara,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini, bersempena pelancaran ROAR30, iaitu strategi baharu lima tahun Maybank sehingga 2030.

Khairussaleh berkata perancangan bank itu adalah untuk membangunkan satu platform berskala bagi pelanggan individu yang boleh digunakan di seluruh rantau ini, berbanding membangunkan penyelesaian khusus mengikut pasaran, bagi meningkatkan kecekapan dan mempertingkat pengalaman pelanggan.

Beliau berkata Indonesia berkemungkinan menjadi pasaran pertama untuk pelancaran aplikasi itu, memandangkan kepentingan perbankan digital di negara berkenaan, manakala Malaysia dan Singapura dijangka menyusul tidak lama selepas itu.

Khairussaleh berkata aplikasi baharu itu akan menyokong usaha kumpulan untuk mengembangkan pendapatan berasaskan yuran melalui penambahbaikan jualan silang penyelesaian dalam segmen runcit, di samping melengkapi keupayaan perbankan transaksi dan pembayaran bagi segmen bukan runcit.

-- BERNAMA