BERITA TERKINI   Setakat ini, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART - Johari | MITI bersama agensinya, MATRADE dan MIDA dibantu oleh MIDF Research sedang melaksanakan analisis kos-faedah (CBA) bagi ART - Johari | Pelaksanaan projek Loji Janakuasa 120MW di Zon Perindustrian Rancha-Rancha pastikan kecukupan bekalan tenaga elektrik di Labuan - TPM Fadillah | Angka ekonomi positif berjaya memperkukuh kedudukan ringgit - PM Anwar | Pengukuhan ringgit menunjukkan keyakinan terhadap sistem ekonomi negara - PM Anwar | 

Kerajaan Diminta Perhalusi Nilai Ambang e-Invois Bagi Peniaga Mikro

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan diminta memperhalusi nilai ambang pelaksanaan e-invois bagi syarikat dengan nilai jualan antara RM1 juta hingga RM5 juta bagi mengelakkan beban pematuhan yang berlebihan ke atas peniaga kecil dan mikro.

Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkata struktur peniaga kecil di Malaysia menunjukkan sebahagian besar kumpulan itu berada dalam sektor perkhidmatan dengan paras pendapatan yang lebih rendah, justeru lebih terdedah kepada kesan pelaksanaan e-invois.

“Bagi kategori peniaga kecil, lima peratus daripadanya adalah di bawah kategori pembuatan dengan lingkungan pendapatan (kira-kira) RM300 ribu hingga RM15 juta dan 95 peratus adalah di bawah kategori perkhidmatan dan lain-lain, dengan lingkungan pendapatan RM300 ribu ke RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menangguhkan sekali lagi pelaksanaan e-invois selama setahun bagi syarikat dengan jumlah jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, yang sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. 

Yeo berkata perbezaan nilai ambang e-invois akan membawa kesan yang sangat ketara dari segi jumlah peniaga kecil yang diwajibkan mematuhi sistem tersebut menjelang 2027.

“Berdasarkan angka-angka ini, (saya) menganggarkan bahawa jika ambang e-invois ditingkatkan kepada RM3 juta, kecuali semua peniaga kecil (dan) kategori pembuatan berpendapatan melebihi RM3 juta dikecualikan, hanya kira-kira 12,000 atau maksimum 15,000 peniaga kecil akan diwajibkan untuk melaksanakan e-invois menjelang 2027,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, sekiranya ambang sedia ada dikekalkan, bilangan peniaga kecil yang terjejas akan meningkat dengan ketara. 

-- BERNAMA