BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini selepas ia menjejaki keuntungan dalam minyak kacang soya.

Peniaga proprietari David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi turut menaikkan sentimen pasaran. “Kami melihat sokongan pada paras melangkaui RM4,180 dengan rintangan pada RM4,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata pasaran minyak sawit bertukar berhati-hati selepas ia melonjak secara mendadak sejak minggu lepas, dengan Jumaat lepas menyaksikan pengambilan untung, "Kenaikan berterusan dalam ringgit juga mengekalkan keuntungan terkawal," katanya.

Pada penutupan, kontrak Februari 2026 meningkat RM16 kepada RM4,198 setan, Mac 2026 menokok RM13 kepada RM4,256 dan April 2026 menambah RM12 kepada RM4,272.

Kontrak Mei 2026 bertambah sebanyak RM14 kepada RM4,266 setan, manakala Jun 2026 naik RM16 kepada RM4,248 dan Julai melonjak RM12 kepada RM4,223.

Jumlah dagangan turun kepada 73,426 lot berbanding 120,825 yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka susut kepada 216,758 kontrak daripada 218,306 sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan meningkat RM10 kepada RM4,210 setan.

-- BERNAMA