Ekosistem Automotif Malaysia Pusat Kompetitif Pemasangan Kenderaan Berorientasi Eksport - Sim 

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Ekosistem automotif Malaysia terus memperkukuh kedudukan negara sebagai pusat berdaya saing bagi pemasangan kenderaan bernilai lebih tinggi dan pembuatan berorientasikan eksport, menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata gabungan antara rantaian bekalan automotif yang mantap dan tenaga kerja mahir di Malaysia telah meningkatkan keupayaan negara untuk menyokong aktiviti pemasangan kenderaan bernilai tinggi serta pengeluaran berasaskan eksport.

“Malaysia menawarkan ekosistem yang matang dengan lebih 640 vendor khusus dan tenaga kerja teknikal yang mahir, yang boleh dimanfaatkan oleh pengeluar,” katanya semasa pelancaran Great Wall Motors WEY G9 di sini hari ini.

Sim berkata aktiviti pemasangan tempatan menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dengan meningkatkan kekompleksan ekonomi, mengukuhkan penyertaan vendor tempatan dan mempertingkat kedalaman teknologi melalui pemindahan teknologi penting.

Beliau turut menekankan mengenai rangkaian 17 perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia, sama ada secara dua hala mahupun serantau, yang membolehkan kenderaan yang dipasang dalam negara mengakses pasaran global melalui eksport bebas cukai.

“Pemasangan tempatan membolehkan syarikat memanfaatkan FTA Malaysia, membuka peluang bagi eksport bebas duti kepada banyak negara di seluruh dunia,” katanya.

Pada masa hadapan, Sim berkata komitmen industri jangka panjang yang lebih mendalam adalah penting untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport yang mampan, khususnya bagi pasaran kenderaan stereng kanan.

Mengenai peralihan kepada kenderaan tenaga baharu termasuk kenderaan hibrid dan kenderaan elektrik bateri, katanya keyakinan pengguna perlu disokong oleh piawaian keselamatan yang kukuh dan perkhidmatan selepas jualan yang boleh dipercayai.

-- BERNAMA