GDB Raih Kontrak Infrastruktur Bernilai RM121.4 Juta Daripada Bina Muhibbah Permajaya
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- GDB Holdings Bhd memperoleh kontrak infrastruktur berjumlah RM121.4 juta bagi dua projek Bina Muhibbah Permajaya Construction Sdn Bhd.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat perkhidmatan pembinaan itu berkata kontrak pertama yang bernilai RM54.4 juta melibatkan kerja-kerja pembangunan jalan di kawasan daerah Simunjan dan Samarahan.
Kontrak selama 32 bulan itu bermula pada 29 Jan, 2026 dan dijangka tamat pada 28 Sept, 2028.
Sementara itu, kontrak kedua melibatkan projek jalan satu lorong baharu, kerja-kerja tanah, saliran dan penambahbaikan tanah, merangkumi bahagian Kuching dan Samarahan yang bernilai RM67 juta.
Kontrak selama 17.5 bulan itu bermula pada 28 Jan, 2026 dan dijangka tamat pada 12 Julai 2027, kata kenyataan tersebut.
Syarikat itu berkata perolehan kontrak berkenaan secara kolektif memperkukuh nilai perolehan kontrak tertunggak GDB kepada RM669 juta dan memberi kumpulan itu keterlihatan pendapatan sehingga akhir 2028.
Pengarah Eksekutif / Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GDB Andy Lai Wee Young berkata ia juga menandakan kejayaan pertama kumpulan dalam pengembangan pasaran ke Malaysia Timur, satu langkah penting dalam strategi pengembangan di luar Semenanjung Malaysia.
“Pada masa hadapan, kami bercadang memanfaatkan rekod prestasi kumpulan yang terbukti dalam kecemerlangan operasi dan penghantaran tepat pada masanya untuk meneroka lebih banyak peluang di rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA