BERITA TERKINI   Penularan penyakit Tibi libatkan murid sekolah di Kota Tinggi terkawal, tiada arahan penutupan sekolah setakat ini - Exco Pendidikan Johor | Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | 

MITI Laksana Pemantauan, Pastikan Penggunaan Produk Tempatan Beri Impak Ekonomi

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberi penekanan kepada pengukuran dan pemantauan berasaskan hasil melalui Kerangka Insentif Baharu (NIF) untuk memastikan penggunaan produk tempatan dalam projek pelaburan memberi impak sebenar kepada ekonomi domestik.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata pendekatan baharu itu bertujuan memastikan komitmen penggunaan produk tempatan dalam projek pelaburan sama ada pelaburan asing (FI) atau pelaburan domestik (DI) dan tidak lagi bersifat deklaratif.

Katanya pengukuran tahap sebenar penggunaan produk tempatan dilaksanakan melalui kerangka tersebut yang menggabungkan indikator kuantitatif dan kualitatif merangkumi peratusan penyumberan tempatan bagi bahan mentah, komponen, mesin dan perkhidmatan.

“Selain itu, tahap penglibatan syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan turut dijadikan ukuran utama bagi menilai sejauh mana limpahan ekonomi pelaburan benar-benar dinikmati oleh industri domestik.

“Kerajaan juga menilai peratusan guna tenaga tempatan yang diwujudkan termasuk aspek peningkatan kemahiran dan latihan sebagai sebahagian daripada indikator pemantauan produk tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai langkah kerajaan dalam mengukur tahap sebenar penggunaan kandungan tempatan dalam projek pelaburan FI dan DI.

Sim berkata kemajuan pelaksanaan program pembangunan vendor dan usaha pemindahan pengetahuan daripada syarikat pelabur kepada syarikat tempatan turut dipantau secara berperingkat.

“Semua indikator ini dinilai mengikut sektor, skala pelaburan dan tahap kematangan industri bagi memastikan penilaian yang lebih realistik dan pragmatik.

“Pemantauan dilaksanakan pada dua peringkat utama, iaitu semasa prakelulusan pelaburan dan pascakelulusan, dengan projek pelaburan dipantau secara berterusan untuk menilai kemajuan sebenar komitmen yang telah dibuat,” katanya.

Bagi peringkat pascakelulusan, katanya kerajaan melaksanakan sesi libat urus berterusan dengan pelabur dan vendor tempatan untuk memastikan pelaksanaan penggunaan produk tempatan sepanjang tempoh pelaburan.

Secara keseluruhan, katanya pendekatan dasar baharu yang lebih kemas dan teliti itu bertujuan memastikan syarikat dan industri tempatan mendapat manfaat daripada pelaburan.

-- BERNAMA