Sentimen Global Lemah Dorong Bursa Malaysia Ditutup Rendah
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, meneruskan penyusutan sederhana berikutan sentimen global yang negatif menjejaskan minat pelabur terhadap risiko, kata ahli ekonomi.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.80 mata atau 0.68 peratus kepada 1,731.02 daripada 1,742.82 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.0 mata lebih tinggi kepada 1,745.82 dan seterusnya mencecah paras tertinggi harian 1,747.18 pada awal dagangan sebelum menyusut ke paras terendah harian 1,731.02 ketika menutup dagangan.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 922 berbanding 279 manakala 472 kaunter tidak berubah, 981 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.83 bilion unit bernilai RM3.66 bilion daripada 2.59 bilion unit bernilai RM2.86 bilion semalam.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penyusutan pasaran tempatan sebahagian besarnya didorong oleh limpahan faktor luaran, terutama kelemahan melibatkan pasaran ekuiti serantau susulan pelabur terus mempertimbangkan semula risiko penilaian dalam saham berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Di dalam negara, keadaan pasaran ini menyebabkan penggiliran sektor secara menyeluruh serta aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan indeks baru-baru ini, dengan tekanan jualan yang ketara dalam sektor utiliti, saham berkaitan perindustrian, penjagaan kesihatan, pembinaan dan tenaga manakala sektor kewangan menunjukkan daya tahan yang relatif lebih baik.
“Saham yang kukuh dalam sektor hartanah dan beberapa kaunter berorientasikan pulangan terpilih telah memberi sokongan yang terhad sekali gus mencerminkan pengimbangan semula kedudukan pelaburan dan bukannya peralihan sepenuhnya kepada langkah mengelakkan risiko,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, beliau berkata dari perspektif teknikal, FBM KLCI masih mendapat sokongan melepasi paras 1,730, yang telah menjadi penambat psikologi dan teknikal untuk jangka pendek.
“Walaupun mengalami penyusutan hari ini, indeks ini masih diniagakan pada paras selesa melebihi purata pergerakan utama, menandakan aliran meningkat yang menyeluruh masih kekal kukuh,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB meningkat 2.0 sen kepada RM8.52, Public Bank susut 1.0 sen kepada RM4.90, Tenaga Nasional menyusut 12 sen kepada RM13.98, IHH Healthcare rendah 19 sen kepada RM8.77 manakala Maybank tidak berubah pada RM11.94.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI susut 10.5 sen kepada 69.5 sen, Pharmaniaga rendah 3.5 sen kepada 29 sen, Capital A menyusut 2.0 sen kepada 57.5 sen manakala MMAG dan Tanco masing-masing tidak berubah kepada 5.0 sen dan RM1.34.
Antara kaunter paling untung, Nestle meningkat RM1.10 kepada RM113.00, Petronas Dagangan menambah 40 sen kepada RM20.36, Southern Acids meningkat 16 sen kepada RM3.50, dan Batu Kawan menokok 12 sen kepada RM19.62.
Fraser & Neave mendahului kaunter rugi apabila menyusut RM1.48 sen kepada RM33.88, Malaysian Pacific Industries rendah 50 sen kepada RM32.00,United Plantations berkurangan 82 sen kepada RM28.98, Petronas Gas susut 40 sen kepada RM18.10, dan Hong Leong Industries susut 26 sen kepada RM16.78.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 rendah 100.66 mata kepada 12,471.95, Indeks FBM Emas merosot 109.29 mata kepada 12,644.42, Indeks FBM Emas Shariah susut 160.68 mata kepada 12,125.32, Indeks FBM ACE berkurangan 61.80 mata kepada 4,634.35, dan Indeks FBM Mid 70 rendah 210.37 mata kepada 17,298.51.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 8.27 mata kepada 21,474.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 2.05 mata kepada 174.53, Indeks Perladangan susut 42.57 mata kepada 8,342.38 dan Indeks Tenaga berkurangan 15.26 mata kepada 740.65.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.28 bilion unit bernilai RM3.32 bilion daripada 1.53 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.07 bilion unit bernilai RM1.33 bilion daripada 650.30 juta unit bernilai RM81.10 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 482.17 juta unit bernilai RM204.19 juta daripada 409.26 juta unit bernilai RM121.48 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 296.79 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (281.20 juta), pembinaan (190.34 juta), teknologi (529.01 juta), perkhidmatan kewangan (99.19 juta), hartanah (236.51 juta), perladangan (38.38 juta), amanah pelaburan hartanah (23.89 juta), dana tertutup (23,000), tenaga (137.11 juta), penjagaan kesihatan (291.54 juta), telekomunikasi dan media (37.09 juta), pengangkutan dan logistik (74.27 juta), utiliti (43.04 juta), dan amanah perniagaan (281,200).
-- BERNAMA