BERITA TERKINI   Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | 

Melaka Terima Pelaburan Lebih RM9 Bilion Bangunkan Pusat Data AI Di Jasin

MELAKA, 4 Feb (Bernama) -- Melaka bakal menerima pelaburan lebih RM9 bilion bagi membangunkan pusat data berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Syarikat Victoria Data Centre yang berpangkalan di Hong Kong telah menyatakan hasrat bagi membangunkan pusat data dengan kapasiti kira-kira 100 megawatt (MW) di Jasin di sini dalam masa terdekat.

"Kita akan masukkan (pembangunan pusat data AI) ini dalam kuota pelaburan (negeri) bagi tahun 2025 dan ia juga akan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 1/ 2026 di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Program HEBAT berkenaan menerima kehadiran kira-kira 470 pengunjung dengan 271 aduan berjaya diselesaikan pada hari ini, manakala bakinya akan diselesaikan secara berperingkat.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan memaklumkan projek mega yang dilaksanakan secara berfasa itu melibatkan pembinaan tiga bangunan pusat data dengan kapasiti teknologi maklumat mencecah 96MW.

Menurut MIDA, inisiatif berkenaan bakal meletakkan Melaka sebagai destinasi kompetitif bagi infrastruktur digital berteknologi tinggi di rantau ini.

MIDA berkata, kehadiran pelaburan berskala besar itu merupakan hasil perbincangan antara Ab Rauf dengan kerajaan China baru-baru ini.

Katanya, ia dijangka memberi impak transformasi yang ketara terhadap landskap ekonomi negeri, khususnya dalam memperkukuhkan ekosistem digital dan pemerkasaan AI.

"Selain memacu adaptasi elemen Industri 4.0, pembangunan ini turut membuka peluang kepada pemindahan teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi penduduk tempatan. 

"Usaha ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Melaka untuk menjadi hub inovasi yang mampan," kata agensi itu.

-- BERNAMA