BERITA TERKINI   Isu kesesakan dan kekurangan mesin pengimbas di Linkedua akan dibawa ke KDN - Loke | Dua sindiket pengedaran dadah tumpas, dadah RM4.7 juta dirampas dalam operasi di Johor Bahru - Polis | Seramai 60,000 pelajar disasar terima manfaat MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) dengan peruntukan RM18.5 juta - Anthony Loke | Tiga individu ditahan bantu siasatan kes lelaki maut ditembak di Skudai pada 9 Mei lepas - Polis | PRN Johor tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MT UMNO dan pertemuan dengan Agong hari ini - Ahmad Zahid | 

Perjanjian ART Akan Berkuat Kuasa Selepas Malaysia, AS Bertukar Notis Bertulis

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) hanya akan berkuat kuasa selepas Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bertukar notis bertulis berdasarkan Artikel 7.2 ART.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pertukaran notis bertulis itu adalah untuk mengesahkan bahawa semua proses ratifikasi dalaman masing-masing telah selesai dan kedua-dua negara bersedia menguatkuasakan ART.

“Setelah proses pertukaran notifikasi tersebut selesai, ART akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari atau pada tarikh lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam jawapan bertulis yang dikeluarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai kenyataan bahawa ART dengan AS tidak boleh diundur tetapi kerajaan akan meneliti dan merunding semula klausa tertentu yang dirasakan tidak adil.

Pada 20 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ART yang dimeterai pada 26 Okt 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 masih belum dikuatkuasakan berikutan kerajaan masih dalam peringkat perundingan dan mahukan jaminan bertulis yang jelas.

Menurut MITI, dalam hal ini, kerajaan sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap klausa di bawah ART.

Katanya langkah ini bagi memastikan pelaksanaan komitmen yang telah dipersetujui itu adalah tertakluk kepada Perlembagan Persekutuan dan dasar-dasar pembangunan negara, perundangan (akta dan peraturan) domestik sedia ada; dan komitmen Malaysia di pelbagai forum antarabangsa termasuk perjanjian perdagangan bebas.

-- BERNAMA