BERITA TERKINI   Perodua mengurangkan harga alat ganti penyelenggaraan servis, termasuk kos upah sebanyak 19 peratus mulai 19 Jun | PDRM gerak 11,926 anggota dan pegawai bantu kelancaran proses PRN Johor - Ketua Polis Johor | Op Daya: SPRM kesan 1,638 syarikat seleweng dana kerajaan RM45 juta - KP SPRM | Op Daya: 97 ditahan seleweng dana kerajaan RM9 juta, 63 kertas siasatan dibuka - KP SPRM | Kontrak Ketua Jurulatih Bawah-23 Harimau Malaya Nafuzi Zain ditamatkan atas persetujuan bersama - FAM  | 

Malaysia Runding Terma MoU Tarif Amerika Syarikat - Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Malaysia sedang berunding terma-terma yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MOU) berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS) bagi mengharmonikan terma-terma berkenaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. 

Beliau berkata usaha rundingan tersebut dijalankan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kita tandatangan MOU, tetapi terma-terma khusus masih belum dirundingkan dan diratifikasikan. Apabila sudah diharmonikan, baru kita meratifikasikan perjanjian antara kedua-dua negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkenaan sejauh mana langkah yang diambil oleh Malaysia dan India terhadap pelaksanaan tarif oleh AS.

Mohamad berkata Malaysia akan berunding sendiri dengan AS kerana terdapat perkara tertentu yang perlu diteliti termasuk bagi mengurangkan impak ekonomi. 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkenaan nadir bumi, Mohamad berkata semasa lawatannya ke Washington (AS) baru-baru ini, beliau telah berunding dengan semua menteri luar berkenaan bahan mineral penting. 

“Kita belum ada perundangan mengenai bahan galian penting (critical minerals), tetapi mereka (AS) sudah mengenal pasti lebih 60 jenis mineral penting.

“AS berhasrat untuk membentuk satu blok bagi mengawal mineral penting kerana mereka kini ketinggalan berbanding negara yang mempunyai teknologi lebih maju. Mereka mahu membina "stockpile" mineral penting ini dan mencadangkan perkara ini kepada kita," katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohamad berkata Malaysia perlu memastikan mineral penting ini diurus dengan baik dan akan meneliti cadangan tersebut secara dalaman terlebih dahulu. 

Ini kerana di negara ini perundangan berkaitan bahan mineral berada di bawah senarai negeri. Justeru itu, kerajaan perlu mengharmonikan peraturan sebelum mengeluarkan perundangan persekutuan berikutan negeri yang mempunyai kuasa mutlak ke atas bahan galian, kata beliau.

Menurut Mohamad, Malaysia tidak lagi membenarkan bahan galian dieksport secara mentah, sebaliknya ia perlu diproses dalam negara bagi memberi nilai tambah kepada mineral berkenaan.

“Sesiapa sahaja bebas untuk datang ke Malaysia, dengan syarat negeri bersetuju kerana bahan galian tersebut adalah kepunyaan negeri dan kita mahu ia diproses di sini bagi mendapatkan nilai yang lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA