BERITA TERKINI   Maxis Bhd umum dividen tahun kewangan 2025 sebanyak 17.5 sen, termasuk dividen interim keempat 4 sen sesaham dan dividen sekali sahaja 1.5 sen sesaham pada suku keempat | Jentera kerajaan, PBT perlu beri pemahaman tepat mengenai isu rumah ibadat kepada rakyat, elak salah faham - Fahmi | Fahmi hargai khidmat Suhaimi sebagai KP Penyiaran, hasil kerja, jasa selama tiga tahun tidak dilupakan | Untung bersih dan pendapatan Maxis Bhd naik 11.8 peratus dan 0.9 peratus kepada RM1.56 bilion dan RM10.63 bilion pada tahun kewangan 2025 | Ekonomi digital akan menjadi pemacu utama dalam mencapai sasaran pelaburan berkualiti Malaysia pada 2026 - Tengku Zafrul | 

Ringgit Ditutup Mengukuh Pada 3.92 Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman KDNK

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya apabila mengakhiri urus niaga hari ini dengan mencecah semula paras 3.92 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Prestasi itu dicatatkan ketika pelabur melakukan persiapan bagi tindakan selanjutnya menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat 2025 pada Jumaat ini.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh di paras 3.9220/9260 berbanding dolar AS daripada paras 3.9325/9375 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pihak berkuasa China telah bertindak menasihati institusi kewangan negara itu bagi mengehadkan pendedahan terhadap bon-bon Perbendaharaan AS.

Langkah itu, katanya, hanya mendorong kepada pengukuhan yuan China berbanding dolar AS, sekali gus meningkatkan lagi nilai ringgit.

Beliau berkata ringgit juga terbukti mengekalkan pengukuhannya berbanding dolar AS, mencecah paras 3.9215 pada sesi pagi ini.

“Ringgit dilihat menjejaki aliran sama seperti yuan, susulan kaitan rapat antara kedua-dua mata wang itu pada pekali korelasi melebihi 90 peratus.

“Pada masa ini, ringgit mendapat sokongan baik dan pengumuman KDNK Malaysia pada Jumaat ini akan hanya memberi kewajaran seterusnya untuk mengukuh berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ini termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 2.5264/5292 daripada 2.5104/5137 semalam, rendah berbanding pound Britain pada 5.3610/3664 daripada 5.3482/3550 dan turun berbanding euro pada 4.6731/6778 daripada 4.6647/6707, sebelumnya.

Namun, ringgit kebanyakannya ditutup mengukuh berbanding mata wang negara anggota ASEAN lain, kecuali susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0994/1028 daripada 3.0979/10.21.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 233.3/233.6 daripada 234.0/234.4, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.5866/6051 daripada 12.5876/6101 selain mengukuh berbanding peso Filipina pada paras 6.70/6.71 daripada 6.72/6.74, sebelum ini.

-- BERNAMA