BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Penggunaan EV Tahunan Meningkat Kepada 44,813 Unit Pada 2025

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Jumlah penggunaan kenderaan elektrik (EV) tahunan telah meningkat dengan ketara kepada 44,813 unit pada 2025 berbanding 3,127unit yang dicatatkan semasa 2022, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini berkata lonjakan ini dirangsang oleh inisiatif kerajaan yang telah memperkenalkan pengecualian duti import dan duti eksais untuk kenderaan elektrik yang diimport sepenuhnya (CBU) dari 2022 hingga 2025 dengan tujuan merangsang penerimaan pasaran domestik.

“Selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020, yang menyasarkan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport kenderaan Generasi Baharu (NxGV), Kerajaan terus menggalakkan pembangunan komponen kritikal EV secara tempatan.

“(Contohnya) seperti bateri, motor pacuan elektrik dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) melalui pemberian insentif cukai kepada syarikat pengeluar kenderaan (OEM) yang menggunakannya,” katanya.

MITI menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai langkah Kerajaan untuk memastikan Malaysia tidak tertinggal dalam trend global EV termasuk pembangunan EV tempatan, bateri dan stesen pengecasan pintar menjelang 2030.

“Fasa seterusnya adalah untuk menggalakkan lebih banyak OEM melaksanakan pemasangan EV secara tempatan,” katanya.

Susulan penamatan pengecualian duti import dan eksais bagi EV CBU pada 31 Disember 2025, MITI berkata OEM telah mula beralih kepada aktiviti pemasangan tempatan sebagai sebahagian daripada komitmen dan strategi operasi mereka di Malaysia.

Selain itu, MITI turut memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 5,624 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara, bersamaan 56 peratus daripada sasaran keseluruhan.

-- BERNAMA