Malaysia Capai Lebihan Dagangan Pertama Sejak 2010, Jumlah Dagangan Cecah RM3 Trilion Pada 2025
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Malaysia mencapai prestasi perdagangan yang penting pada 2025 dengan jumlah perdagangan (barangan) melepasi angka RM3 trilion buat kali pertama dalam sejarah, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata momentum itu terus diperkukuhkan oleh sektor perkhidmatan, yang merekodkan lebihan perdagangan pertamanya selepas defisit selama 13 tahun sejak 2011, menandakan peralihan negara yang berjaya ke arah ekonomi bernilai tinggi dan dipacu perkhidmatan.
“Lebihan perdagangan sebanyak RM1.15 bilion menandakan pemulihan yang ketara, didorong oleh prestasi kukuh dalam perkhidmatan pelancongan dan pembuatan.
“Pemulihan ini menerajui tahun pemecahan rekod untuk ekonomi negara, dengan jumlah perdagangan perkhidmatan melepasi paras RM500 bilion buat kali pertama dalam sejarah untuk mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM543.01 bilion, iaitu peningkatan 9.2 peratus berbanding 2024,” katanya.
Menurut agensi itu, eksport merekodkan paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM272.08 bilion, berkembang 12 peratus untuk melepasi import yang meningkat 6.4 peratus kepada RM270.93 bilion dan menjadikan lebihan perdagangan keseluruhan sebanyak RM1.15 bilion.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pencapaian lebihan perkhidmatan pertama dalam tempoh 14 tahun menggariskan kejayaan peralihan strategik negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan bernilai tinggi.
“Dengan jumlah perdagangan mencecah rekod RM543.01 bilion, kami kekal komited untuk mengekalkan momentum ini dengan mengembangkan inisiatif promosi eksport kami ke seluruh pasaran utama dan baharu muncul, sejajar dengan strategi kepelbagaian kami bagi memastikan pertumbuhan mampan bagi pengeksport Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata prestasi luar biasa sektor perkhidmatan pada 2025 turut mencerminkan kesan inisiatif eksport bersasar menerusi pameran keupayaan tempatan dalam ekspo ikonik antarabangsa seperti Pertunjukan Udara Antarabangsa Paris (penerbangan dan aeroangkasa).
Selain itu, ADIPEC (ekosistem tenaga termasuk minyak dan gas huluan/hiliran, gas asli cecair, petrokimia dan tenaga boleh baharu), SEMICON Asia Tenggara & SEMICON Barat (semikonduktor dan industri berkaitan) dan Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (perkhidmatan penjagaan kesihatan).
“Kesemua acara perdagangan berkaitan dengan perkhidmatan utama ini selaras dengan sektor bernilai tinggi seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) bagi memastikan sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama kemakmuran negara,” tambahnya.
Oleh itu, beliau berkata agensi itu kekal berdedikasi untuk memperkasakan penyedia perkhidmatan Malaysia termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk berkembang ke peringkat global di bawah pelan tindakan 2026.
“MATRADE akan terus memperjuangkan kecemerlangan eksport Malaysia di pentas dunia dengan meningkatkan integrasinya ke dalam rantaian bekalan global, memupuk inovasi dan perkongsian bernilai tinggi yang akan memacu kemakmuran jangka panjang serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan global utama,” kata agensi itu.
-- BERNAMA