BERITA TERKINI   PM Anwar minta RUU had tempoh jawatan PM kepada dua penggal diluluskan segera di Parlimen | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat disebabkan para peniaga bersikap berhati-hati dalam persekitaran risiko geopolitik yang semakin memuncak, kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit melonjak kepada 3.8965/9160 berbanding dolar AS daripada 3.9045/9125 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pengurangan risiko telah menjadi jelas dalam pasaran kewangan global apabila pedagang menumpukan pada perkembangan sekitar perjanjian nuklear antara AS dan Iran.

“Presiden AS Donald Trump telah menetapkan tempoh selama 10 hari untuk memuktamadkan rundingan. Pada masa sama, terdapat laporan atur gerak tentera AS di Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata kadar pertukaran dolar AS-ringgit dijangka diniagakan antara RM3.91 dan RM3.93 kerana pasaran masih berwaspada terhadap peningkatan selanjutnya.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata data AS baru-baru ini menunjukkan import telah menurun selama lima bulan berturut-turut, turun 2.6 peratus tahun ke tahun pada Disember, 2025, manakala defisit perdagangan merosot kepada AS$70.3 bilion daripada AS$96.9 bilion pada Disember, 2024.

Beliau berkata data tersebut menunjukkan permintaan domestik yang lebih perlahan telah melemahkan pertumbuhan import dalam ekonomi AS.

“Sebaliknya, tuntutan pengangguran awal susut sedikit kepada 219,000 minggu lepas daripada 220,000 sebelumnya.

Bagaimanapun, tuntutan telah menunjukkan trend yang lebih tinggi sejak awal Januari, menunjukkan pasaran buruh mungkin semakin lemah dengan tuntutan berterusan kekal pada tahap yang tinggi,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama dan mata wang ASEAN.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5126/5250 daripada 2.5221/5275 ketika ditutup pada Khamis, meningkat berbanding euro kepada 4.5880/6103 daripada 4.6073/6168 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.2469/2725 daripada 5.2730/2838 sebelumnya.

Berbanding mata wang ASEAN. ringgit melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.0732/0887 daripada 3.0817/0882, menambah berbanding baht Thailand kepada 12.4944/5657 daripada 12.5196/5521, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 230.8/232.0 daripada 231.1/231.6 dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.76 daripada 6.73/6.75 sebelum itu.

-- BERNAMA