Untung Bersih MISC Naik Ke RM1.7 Bilion Bagi Tahun Kewangan Berakhir 2025

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- MISC Bhd mencatatkan untung bersih RM1.70 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, meningkat daripada RM1.19 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, hasil merosot 15 peratus kepada RM11.15 bilion berbanding RM13.24 bilion, terutamanya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen marin dan kejuruteraan berat, menurut kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Penurunan ini berlaku kerana kebanyakan projek sedia ada hampir siap, manakala projek baharu yang diperoleh masih berada pada peringkat awal fabrikasi.

Hasil daripada segmen aset dan penyelesaian gas turut menurun, terutamanya disebabkan bilangan hari berpendapatan yang lebih sedikit selepas tamat kontrak, penjualan kapal, penghentian operasi, serta kadar sewaan kapal yang lebih rendah sepanjang tahun.

Bagi suku keempat, kerugian bersih syarikat mengecil kepada RM11.8 juta berbanding kerugian bersih RM446.2 juta pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, kumpulan itu mengisytiharkan dividen bagi tahun 2025 sebanyak 14 sen sesaham, yang akan dibayar pada 26 Mac 2026.

Bagi prospek masa depan, kumpulan itu menjangkakan subsegmen marin akan mencatatkan prestasi stabil, disokong oleh aktiviti pembaikan dan penukaran kapal yang sedang berjalan, serta dipacu oleh kepakaran pengurusan projek yang kukuh dan penambahbaikan dalam kecekapan operasi serta penghantaran projek.

Bagaimanapun, kumpulan itu menasihatkan bahawa persekitaran operasi segmen marin dan kejuruteraan berat dijangka kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh keadaan geopolitik semasa dan ketidaktentuan tarif.

Dalam konteks ini, subsegmen kejuruteraan berat akan terus menekankan kepakaran pelaksanaan projek dan memperkukuh buku pesanan merentasi peluang projek tenaga konvensional dan baharu, sambil kekal berhati-hati dalam menangani cabaran operasi.

-- BERNAMA