BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus usul Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 | Sebahagian syarikat dorman tidak dapat dibubar kerana obligasi kewangan seperti hutang perlu dilunaskan - Liew Chin Tong | Rugi bersih Supermax Corporation naik kepada RM58.44 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 | Ringgit ditutup rendah, turun kepada 3.8915/8980 berbanding dolar AS daripada 3.8885/8925 ketika ditutup semalam | Untung bersih Petronas Gas bagi tahun kewangan 2025 turun kepada RM1.72 bilion daripada RM1.83 bilion pada tahun kewangan 2024 | 

Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Tinggi Susulan Niaga Hadapan Serantau Kukuh

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Selasa disokong oleh kenaikan dalam niaga hadapan getah serantau berikutan penyambungan semula dagangan dalam kalangan pembeli utama di China selepas cuti Tahun Baharu Cina, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat bagi sesi kelima berturut-turut pada Selasa, disokong oleh harga fizikal yang kukuh apabila dagangan disambung semula dalam kalangan pembeli utama di China.

Peniaga itu menambah, sentimen pasaran terus diperkukuh oleh kenaikan harga minyak mentah seiring dengan langkah rangsangan terbaharu China.

“Harga minyak menokok menghampiri paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan berikutan risiko geopolitik dan ketidaktentuan rundingan nuklear di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran,” katanya.

Sewaktu berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent naik sebanyak 0.06 peratus kepada US$71.53 setong.

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ketidaktentuan berkaitan tarif perdagangan AS serta ketegangan geopolitik yang berterusan.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 bertambah sebanyak 16.5 sen kepada 787 sen sekilogram manakala lateks pukal naik lima sen kepada 597 sen sekilogram.

-- BERNAMA