BERITA TERKINI   Kerajaan perkukuh usaha banteras ketirisan, penyeludupan melalui pengaktifan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan - TPM Fadillah | Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | 

Pos Malaysia Cadang Laksana Program Sukuk Wakalah Kekal RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, Feb 26 (Bernama) -- Pos Malaysia Bhd bercadang untuk melaksanakan program nota kekal subordinat Islam (sukuk wakalah kekal) pada nilai nominal RM1 bilion berasaskan prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menjelaskan hasil daripada terbitan sukuk mengikut program tersebut akan digunakan bagi tujuan patuh syariah.

Perkara itu termasuk untuk perbelanjaan modal penerbit dan anak-anak syarikatnya (kumpulan penerbit), serta pembiayaan semula kemudahan pembiayaan atau pinjaman sedia ada atau pembiayaan patuh syariah masa hadapan kumpulan penerbit.

Hasil tersebut juga akan digunakan sebagai modal kerja dan tujuan korporat am kumpulan penerbit, selain menampung fi, kos dan perbelanjaan berkaitan pelaksanaan dan/atau terbitan mengikut program sukuk wakalah kekal itu, tambahnya.

Maybank Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama bagi program sukuk wakalah kekal tersebut manakala Maybank Islamic Bhd bertindak sebagai penasihat syariah bagi program itu.

-- BERNAMA